Ingat 'kontrak' suap anak makan sudah habis pada 1 Syawal rupanya... - Fadhlina

Hantaran dimuat naik Fadhlina pada Hari Raya Aidilfitri pada Isnin. Foto Facebook Fadhlina Sidek (Gambar kanan, hantaran Fadhlina di Facebook sekitar awal Mac lalu.)
Hantaran dimuat naik Fadhlina pada Hari Raya Aidilfitri pada Isnin. Foto Facebook Fadhlina Sidek (Gambar kanan, hantaran Fadhlina di Facebook sekitar awal Mac lalu.)
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkongsi pengalaman melayani kerenah anak-anaknya yang masih dalam fasa belajar berpuasa, termasuk kebiasaan menyuap makanan kepada mereka.

Dalam nada berseloroh, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, meskipun Ramadan telah berakhir, anak-anaknya tetap meminta disuap, terutama ketika bersahur kerana mereka sukar menghabiskan sepinggan nasi.

“Mummy ingatkan kontrak Mummy suap dia (anak) makan sudah habis pada 1 Syawal. Tapi dia minta sambung kontrak sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

“Katanya, ‘Mummy suaplah abang, kan suap anak itu dapat pahala. Kena kenyang sebelum beribadah, Mummy.’

“Manalah Mummy sampai hati kan? Terus suap sampai kenyang dan berjalanlah kami anak-beranak menuju ke surau untuk solat bersama ahli kariah. Eid Mubarak!” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Fadhlina turut berkongsi kisah dua anak kecilnya yang sedang belajar berpuasa pada awal Mac lalu.

Menurutnya, waktu menyuap makanan terasa amat panjang kerana anak-anak hanya mampu mengunyah tiga suap dalam masa sejam, sedangkan sahur perlu disegerakan sebelum azan Subuh.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!