Skim Ponzi MBI tumpas: RM3.17 bilion aset disita, empat Datuk ditahan

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Skim pelaburan tipu ‘Ponzi Scheme’ atau Pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran berjaya ditumpaskan dengan sitaan dan pembekuan aset bernilai RM3.17 bilion hasil penahanan lapan individu termasuk empat bergelar Datuk.

Tindakan rentas negara pada 20 Mac lalu itu dilaksanakan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman menerusi Op Northern Star, hasil maklumat notis merah (red notice) daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lapan warga tempatan yang ditahan termasuk seorang wanita berusia antara 44 hingga 62 tahun.

Menurutnya, antara suspek yang ditahan ialah dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk.

“Menerusi beberapa siri serbuan, Pasukan AMLA berjaya melaksanakan pembekuan dan sitaan aset di bawah Seksyen 44(1) serta Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 berjumlah RM3.17 bilion.

“Antara aset yang dirampas dan dibekukan ialah 638 akaun bank dan akaun saham berjumlah RM1,160,166,195.74 serta 35 unit hartanah dianggarkan bernilai RM2,005,900,000.

“Selain itu, turut dirampas ialah 10 buah kenderaan mewah, 13 utas jam tangan mewah, wang tunai pelbagai mata wang asing dan Ringgit Malaysia, dua unit barang kemas, enam telefon bimbit, dua komputer riba, empat beg tangan mewah serta pelbagai dokumen penting,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, semua harta dan barangan terbabit dipercayai merupakan hasil perolehan haram berkaitan aktiviti penipuan pelaburan berkenaan manakala kesemua suspek telah direman antara satu hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan siasatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang disyaki terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa masuk atau keluar, menggunakan atau melupuskan hasil perolehan haram daripada aktiviti penipuan pelaburan terbabit.

“Dalam usaha membanteras jenayah pengubahan wang haram di negara ini, PDRM menasihatkan masyarakat agar berwaspada dengan sebarang aktiviti mencurigakan.

“Sila tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!