Arafat nafi tunjuk pistol, ugut calon pemilihan parti

Arafat.
Arafat.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta menafikan melakukan ugutan dengan menunjukkan senjata api berupa pistol dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat Cabang di sini pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, dakwaan beliau melakukan perbuatan tersebut terhadap calon dan pengundi sepertimana video tular di media sosial adalah bersifat fitnah.

"Setiap kali tempoh pemilihan parti akan ada yang memfitnah untuk kepentingan politik calon yang menentang saya dalam pemilihan.

"Rakyat dapat menilai fitnah-fitnah yang timbulkan tepat pada hari pengundian pemilihan parti di Perak iaitu pada hari ini," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, dalam pemilihan parti kali ini, Muhamad Arafat selaku Ketua Cabang Tambun dicabar Shamsul Kamar Ani yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut.

Video berdurasi 1 minit dan 5 saat tersebut menunjukkan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Kalai mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol kepada ahli-ahli yang sedang merayu undi.

Individu terbabit yang disebut sebagai calon Timbalan Ketua Cabang Tambun turut memaklumkan bahawa mereka mempunyai bukti kerana disaksikan oleh ramai orang.

Mengulas lanjut, Muhamad Arafat berkata, satu laporan polis telah dibuat terhadap individu tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah mengarahkan peguam mulakan tindakan undang-undang terhadap individu yang memfitnah.

"Calon perlu menghadapi pemilihan secara prinsip, etika dan semangat keluarga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!