Tunjuk pistol: Arafat masih belum beri keterangan - Polis

Noor Hisam (dua dari kiri) ketika sidang akhbar Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah serta Pengerusi PERKEP Daerah bagi IPD Sungai Siput dan Tapah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak pada Isnin.
Noor Hisam (dua dari kiri) ketika sidang akhbar Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah serta Pengerusi PERKEP Daerah bagi IPD Sungai Siput dan Tapah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai masih belum hadir memberikan keterangan kepada polis susulan dakwaan ugutan jenayah menggunakan objek menyerupai pistol.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya masih memberikan masa kepada wakil rakyat itu untuk tampil bagi dirakam percakapan.

Menurutnya, pihak polis memerlukan keterangan Muhamad Arafat bagi melengkapkan siasatan.

"Kita tidak beri dia (Muhamad Arafat) tempoh masa untuk hadir tetapi harap dalam minggu ini. Kita faham dia agak sibuk kempen di Ayer Kuning. Harap dia akan hadir dalam masa terdekat.

"Lebih cepat lebih baik, supaya kita dapat selesaikan siasatan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah serta Pengerusi PERKEP Daerah bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput dan Tapah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak pada Isnin.

Noor Hisam berkata, pihak polis menerima maklumat berkaitan kejadian jam 12.28 tengah hari pada Ahad yang dilaporkan berlaku di sebuah dewan komuniti di Tanjung Rambutan.

Jelasnya, berdasarkan siasatan awal pihak polis, individu yang membuat laporan hadir ke lokasi kejadian bagi memantau proses pemilihan jawatankuasa sebuah parti politik sebelum berlaku salah faham dan provokasi antara kedua-dua individu terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Suspek mengesyaki penyokong di pihak mangsa telah membuat halangan bagi mengelakkan orang ramai daripada masuk ke dalam dewan.

"Dalam kejadian tersebut, suspek didakwa telah mengeluarkan satu objek yang menyerupai pistol dari bahagian pinggang belakang badannya dan menyerahkannya kepada pembantu peribadinya yang berada di belakang," katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya lapan individu dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada Ahad, satu video berdurasi 1 minit dan 5 saat tular menunjukkan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Kalai mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol kepada ahli-ahli yang sedang merayu undi.

Bagaimanapun Muhamad Arafat melalui satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai fitnah setiap kali pemilihan parti berlangsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!