Lidah, hati antara kunci menuju haji mabrur

UJIAN di Tanah Suci bukan semestinya balasan atas dosa, tetapi mungkin satu bentuk kasih sayang daripada ALLAH SWT. -Foto: CANVA
UJIAN di Tanah Suci bukan semestinya balasan atas dosa, tetapi mungkin satu bentuk kasih sayang daripada ALLAH SWT. -Foto: CANVA
A
A
A

UNGKAPAN seperti ‘Bodoh kamu ini’, ‘Sial betul orang ini’, ‘Orang negara ini memang tak tahu beratur’ atau ‘Saya tak mainlah pakej murah, jauh sangat’ mungkin kedengaran biasa dalam perbualan harian.

Namun begitu, apabila kata-kata seumpama itu terkeluar daripada mulut jemaah yang sedang berada di Tanah Suci, impaknya bukan lagi sekadar bunyi, tetapi ia boleh menghakis nilai ibadah yang sedang ditunaikan.

Ketika jutaan umat Islam berkumpul di Makkah dan Madinah saban tahun untuk menunaikan ibadah haji, ramai yang memberi tumpuan kepada rukun dan wajib haji, namun mungkin terlepas pandang aspek paling ‘halus’ iaitu lidah dan hati.

Pendakwah Ustaz Muhidin Mokter menjelaskan, menjaga percakapan merupakan antara inti pati utama dalam ibadah haji.

USTAZ MUHIDIN
USTAZ MUHIDIN

Bahkan, ALLAH SWT telah mengingatkan dalam al-Quran: “Maka sesiapa yang telah mewajibkan dirinya dengan ibadah haji itu dalam bulan-bulan tersebut, maka janganlah dia melakukan rafath (perkara keji atau hubungan suami isteri), dan jangan melakukan kefasikan dan jangan berbantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji.” (Surah al-Baqarah: 197)

“Ketidakmampuan mengawal percakapan sehingga berlaku pertengkaran adalah tanda kelemahan diri dalam mengawal nafsu amarah dan ia perlu dipertingkatkan kerana antara hikmah ibadah haji adalah melatih diri kita bersabar dan mengawal nafsu.

Artikel Berkaitan:

“Kemampuan mengawal tutur kata boleh menjadi tanda aras kejayaan dan mabrurnya haji seseorang,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Ujian atau balasan?

Terdapat jemaah yang pernah berkongsi pengalaman diuji dengan kehilangan suara, tersesat atau jatuh sakit selepas berkata sesuatu yang tidak baik di tanah haram. Adakah itu satu kebetulan atau balasan segera?

MENJAGA percakapan merupakan antara inti pati utama dalam ibadah haji. -Foto: CANVA
MENJAGA percakapan merupakan antara inti pati utama dalam ibadah haji. -Foto: CANVA

Menjawab persoalan itu, Ustaz Muhidin yang berpengalaman dalam pengurusan haji dan umrah menjelaskan, setiap kesalahan dilakukan pasti ada balasannya sama ada di dunia mahupun akhirat kecuali kekhilafan tadi telah diampunkan oleh ALLAH SWT sebagaimana dijelaskan menerusi ayat ke-160 surah al-An’am.

“Apabila ada jemaah yang sakit, hilang suara atau tersesat setelah bercakap yang tidak baik ataupun terkena penyakit aneh, ia suatu yang tidak mustahil ALLAH bayar ‘tunai’ terhadap apa yang dilakukan.

“Justeru, berfikirlah secara positif dan bersangka baik kepada ALLAH, anggaplah ia kaffarah (penutup dosa) dan menerima dengan sabar dan muhasabah diri serta berusaha untuk bertaubat dan memperbaiki diri,” jelasnya.

Pun begitu, beliau mengingatkan, ujian di Tanah Suci bukan semestinya balasan atas dosa, tetapi mungkin satu bentuk kasih sayang daripada ALLAH SWT.

“Realiti kehidupan manusia ialah satu ujian, sama ada disebabkan kesalahan kita atau tanpa sebarang sebab.

KETIKA berada di Tanah Suci, gunakanlah masa yang ada untuk membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan berbincang perkara yang bermanfaat kerana ALLAH SWT melarang daripada berkata keji, lucah atau bertengkar. -Foto: CANVA
KETIKA berada di Tanah Suci, gunakanlah masa yang ada untuk membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan berbincang perkara yang bermanfaat kerana ALLAH SWT melarang daripada berkata keji, lucah atau bertengkar. -Foto: CANVA

“Maka, siapkan mentaliti untuk menghadapi ujian semasa menunaikan haji dengan jiwa yang kuat dan sabar. Itulah syarat untuk memperoleh haji yang mabrur,” ungkapnya.

Kepada satu soalan, Ustaz Muhidin menjawab: “Jemaah haji dituntut bersungguh-sungguh menjaga rukun, wajib dan syarat-syarat haji. Apabila semua itu disempurnakan sebaiknya dengan memenuhi segala syarat-syaratnya, maka hajinya dikira sah.

“Perbuatan mengumpat, merungut atau ‘cakap lepas’ tidak menjejaskan status kesahan ibadah haji, tetapi ia boleh memberi kesan kepada kemabruran haji yakni sama ada haji kita diterima ALLAH atau sebaliknya. Inilah yang menentukan balasan yang akan kita terima di akhirat nanti.”

Lantaran itu, beliau mengingatkan agar jemaah bukan sekadar menjaga rukun, wajib dan syarat haji, tetapi juga tutur kata serta adab.

DENGAN menjaga lidah dan pertuturan, ia akan membawa kita kepada haji mabrur yang diterima oleh ALLAH SWT. -Foto: CANVA
DENGAN menjaga lidah dan pertuturan, ia akan membawa kita kepada haji mabrur yang diterima oleh ALLAH SWT. -Foto: CANVA

“Ingatlah, dengan menjaga lidah dan pertuturan, ia akan membawa kita kepada haji mabrur yang diterima oleh ALLAH SWT.

“Sebaiknya, gunakanlah kesempatan di Tanah Suci untuk membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan berbincang perkara yang bermanfaat kerana itulah ALLAH SWT melarang daripada berkata keji, lucah atau bertengkar,” titipnya.

ANEKDOT

Tip bersihkan diri sebelum tunai haji

1. Bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha).

2. Memohon maaf kepada manusia.

3. Selesaikan hutang dan amanah.

4. Perbanyakkan amal soleh.

5. Biasakan diri jaga lisan dan hati.

BAKAL jemaah haji diingatkan agar bukan sekadar menjaga rukun, wajib dan syarat haji, tetapi juga tutur kata serta adab ketika berada di Tanah Suci. -Foto: CANVA
BAKAL jemaah haji diingatkan agar bukan sekadar menjaga rukun, wajib dan syarat haji, tetapi juga tutur kata serta adab ketika berada di Tanah Suci. -Foto: CANVA

6. Banyakkan membaca dan memahami al-Quran.

7. Tingkatkan ilmu berkaitan haji dan adab-adabnya.

8. Bersedekah dan membantu orang susah.

9. Amalkan doa khusus memohon agar ALLAH SWT memberikan kita haji yang mabrur. Doanya: "Ya ALLAH, jadikan hajiku mabrur, usahaku diberkati, dosaku diampunkan dan amalanku diterima."

10. Biasakan diri dengan sifat sabar dan reda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!