Gangguan bekalan air: Peniaga tingkatkan stok air mineral

GEORGE TOWN - Peniaga dan pemborong di sekitar bandar ini mula meningkatkan stok air mineral sebagai langkah awal menghadapi gangguan bekalan air yang dijadualkan bermula 25 April ini.
Pemborong, Lim Yuan Zheng, 28, memaklumkan permintaan terhadap air mineral di premisnya meningkat sejak awal minggu ini susulan pengumuman mengenai gangguan air itu.
Jelasnya, orang ramai mula membeli dalam kuantiti besar, menyebabkan jualan melonjak secara mendadak.
"Jualan air mineral laris sejak minggu lepas. Pelanggan beli dalam jumlah banyak, jadi saya terpaksa naikkan tempahan sehingga 50 peratus.
"Bukan sahaja air mineral, air minuman lain juga meningkat cuma tidak sebanyak air mineral. Mungkin pembeli buat stok ketika ketiadaan bekalan air nanti," katanya ketika ditemui di premisnya di sini pada Rabu.

Tambahnya, harga jualan kekal seperti biasa mengikut jenama tanpa sebarang kenaikan.
"Bekalan cukup, pengguna tidak perlu risau. Setakat untuk menampung sehingga minggu depan, memang cukup," ujarnya.
Seorang lagi peniaga kedai runcit, Chew Siew Hong, 73, memberitahu bahawa air mineral di premisnya habis dijual setiap hari sejak minggu lalu.
“Setiap hari rak kosong sebab pelanggan beli banyak. Saya sudah buat tempahan tambahan untuk tampung permintaan hingga dua minggu akan datang.
"Bila air tiada nanti, orang akan cari air bersih, jadi kami kena bersedia awal,” katanya.
Sementara itu, penyelia pasar raya mini, Isaac Ang, 25, berkata, dia juga telah membuat persediaan dengan menempah bekalan air mineral pelbagai jenama sebagai persediaan sepanjang gangguan bekalan air selama lima hari nanti.
"Saya sudah buat pesanan kepada pemborong lebih 100 karton air mineral dan bekalan akan sampai esok. Sejak beberapa hari lalu, pelanggan beli dalam kuantiti yang banyak.
"Ada yang sampai berkarton-karton kerana bimbang tiada bekalan air bersih sepanjang gangguan bekalan air nanti," katanya.
Pelajar, Nur Ain Atikah Ruslee, 23, berkata, dia telah membeli 50 botol air mineral berisipadu 1 liter untuk kegunaan isi rumahnya termasuk neneknya yang tidak sihat.
"Saya kena bersedia awal kerana nenek yang tidak sihat perlu menggunakan air bersih yang agak banyak. Selain itu, ia juga untuk kegunaan memasak dan minum.
"Jika masih tidak cukup, saya akan beli lagi untuk persediaan sekiranya gangguan air tidak mengikut jadual yang ditetapkan. Syukur peniaga tidak menaikkan harga air mineral," katanya.
Pekerja swasta, Badariah Hassan, 40-an berkata, dia sudah membeli satu dozen air mineral botol besar sejak minggu lalu untuk kegunaan keluarganya.
"Saya ada anak yang masih bersekolah, jadi penggunaan air agak tinggi. Selain itu, air bersih ini untuk memasak dan minum.
"Selain beli air mineral, saya pun dah bersedia dengan menyimpan bekalan air iaitu sebanyak lima tong besar di rumah. Biar lebih daripada tak cukup," katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang akan terkesan dengan gangguan bekalan air daripada 25 hingga 28 April, susulan pelaksanaan 23 projek yang melibatkan kos keseluruhan RM25 juta.

Projek berkenaan bagi menambah baik perkhidmatan bekalan air kepada kira-kira 465,000 pengguna air di kawasan perkhidmatan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Datuk K Pathmanathan berkata, kerja-kerja fizikal bagi 23 projek kerja air itu dijadual siap sepenuhnya selewat-lewatnya 4 petang, Sabtu.
Menurutnya, pemulihan bekalan air akan dimulakan selepas semua projek menjalani ujian akhir dan pengoperasian serta setelah LRA Sungai Dua memulakan semula operasi rawatan dan pengepaman air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!