Media berperanan penting tepis berita palsu

Kon Yeow (tengah) memotong kek sempena meraikan ulang tahun ke-10 Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dan Hari Wartawan Nasional 2025 pada Ahad
Kon Yeow (tengah) memotong kek sempena meraikan ulang tahun ke-10 Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dan Hari Wartawan Nasional 2025 pada Ahad
A
A
A

SEBERANG JAYA – Wartawan berintegriti bukan sekadar penulis berita, tetapi berperanan sebagai penyampai maklumat, ejen semak dan imbang dalam sistem demokrasi serta pencorak pemikiran rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pengamal media memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan rakyat menerima maklumat yang sahih dan tepat, lebih-lebih lagi dalam era penyebaran maklumat yang begitu pantas dan adakalanya mengelirukan.

"Dalam dunia yang dipenuhi maklumat pantas dan mengelirukan, wartawan memainkan peranan penting menapis, menyiasat dan memastikan segala yang disampaikan adalah benar dan sahih.

"Dalam keadaan ini, wartawan harus menjadi benteng pemisah antara fakta dan fitnah, kebenaran dan penyelewengan," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sedekad Kilauan Mutiara dan Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini, pada Ahad.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong serta pengamal media termasuk veteran dan bekas wartawan yang pernah berkhidmat di negeri ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi menekankan keperluan kepada pelaporan berita yang beretika dan bertanggungjawab.

Katanya, komitmen tinggi wartawan terhadap kebenaran terutamanya ketika saat-saat sukar seperti pandemik Covid-19 amat dihargai.

"Saya masih ingat bagaimana ketika pergerakan rakyat terhad semasa pandemik, rakan-rakan wartawan tetap turun ke lapangan demi menyampaikan maklumat tepat dan terkini walaupun berdepan risiko keselamatan.

Artikel Berkaitan:

"Dedikasi ini memberi sinar harapan dan kelegaan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus bekerjasama rapat dengan media selagi integriti dan kepercayaan terus dipegang oleh pengamal media.

"Hari Wartawan Nasional ini juga penting bagi mengiktiraf sumbangan besar wartawan di seluruh dunia, yang sering berdepan risiko besar termasuk ancaman terhadap nyawa mereka.

"Ia juga satu penghargaan kepada media yang sentiasa memberi suara kepada golongan yang tidak didengari. Peranan ini kekal penting dan perlu dilaksanakan dengan berkesan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!