Tiga pegawai kanan disebut-sebut calon Ketua Polis Negara

Razarudin akan tamat tempoh kontrak sebagai Ketua Polis Negara, Jun ini.
Razarudin akan tamat tempoh kontrak sebagai Ketua Polis Negara, Jun ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatan Ketua Polis Negara (KPN) yang disandang Tan Sri Razarudin Husain, 62, secara kontrak selama dua tahun sejak 2023 dijangka tamat Jun ini sekali gus mencetuskan teka-teki siapa yang bakal menggantikan beliau.

Antara calon pengganti yang disebut-sebut jika kontrak Razarudin tidak disambung ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, 59, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim, 60, serta Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Namun segala-galanya adalah berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas nasihat Perdana Menteri.

Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay
Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, pemilihan siapa bakal menjawat KPN yang baharu adalah suatu perkara sangat penting kepada negara dan masyarakat.

Menurutnya, kedudukan orang nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu seharusnya diberikan kepada individu yang berkeupayaan untuk meneruskan kecemerlangan tugas polis dalam menangani segala jenis jenayah.

Tegas beliau, bukan sahaja mampu meneruskan kecemerlangan Sang Saka Biru menangani pelbagai permasalahan negara, individu itu juga wajib mempunyai tahap integriti yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai seorang Ketua Polis Negara, individu yang dilantik sebaiknya adalah seorang yang mempunyai integriti tinggi, pengalaman luas, tegas dalam melaksanakan tanggungjawab serta mempunyai imej bersih,” katanya kepada Sinar Harian.

Shahul Hamid menambah, lazimnya Timbalan Ketua Polis Negara akan dilantik sebagai orang nombor satu PDRM kerana mempunyai pengalaman dan memangku tugas semasa KPN sedang bercuti atau mempunyai tugasan rasmi di luar negara.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia, Datuk Seri Halim Ishak turut berpendapat secara tradisinya, jawatan KPN akan diisi oleh Timbalan Ketua Polis Negara.

“Namun begitu, tidak dapat diketepikan kemungkinan pelantikan seorang tokoh lain bagi mengisi kekosongan tersebut seperti yang berlaku dalam pemilihan Panglima Angkatan Tentera sebelum ini.

“Apa jua keputusan yang bakal diumumkan, individu yang dipilih perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik, berpegang teguh kepada sumpah taat setia, malah komited untuk mengangkat martabat dan integriti institusi PDRM di mata dunia,” ujarnya.

Bagi penganalisis pertahanan, Zaki Salleh, menjadi amalan kebiasaan untuk seorang timbalan diangkat menjadi KPN.

Jelasnya, jawatan Timbalan Ketua Polis Negara adalah perjawatan yang sedang dipersiapkan untuk menjadi orang nombor satu pasukan itu berdasarkan penglibatan dalam hal-hal pentadbiran atasan PDRM.

Pelantikan Razarudin secara kontrak selepas usia persaraan 60 tahun adalah selama dua tahun sehingga 22 Jun 2025.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!