Warga emas rugi lebih RM186,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

MUAR – Impian seorang warga emas untuk meraih keuntungan berganda musnah apabila wang simpanannya berjumlah RM186,000 lesap akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pesara berusia 70 tahun itu menyertai satu kumpulan perniagaan dalam satu aplikasi WhatsApp setelah tertarik dengan pelaburan yang menguntungkan di laman sosial.
Katanya, mangsa juga diberikan penerangan mengenai bagaimana untuk melabur, jumlah modal dan jumlah keuntungan sebanyak 200 peratus yang bakal diperolehnya dalam tempoh tiga bulan.
“Oleh kerana tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa telah melakukan sebanyak 14 transaksi kepada lima akaun bank berbeza berjumlah RM186,800 bermula dari 25 Januari 2025 hingga April 2025.
“Mangsa kemudiannya telah diberikan satu pautan bagi tujuan membuat semakan keuntungan yang diperoleh dan mendapati pulangan pelaburan sebanyak RM446,786.89 telah dimasukkan sebagaimana yang dijanjikan
“Bagaimanapun, mangsa diminta untuk membayar pula sebanyak RM22,339.34 bagi menebus pulangan tersebut. Hal ini membuatkan mangsa mula berasa curiga dan menghubungi individu yang menawarkan pelaburan berkenaan kepadanya sebelum ini tetapi gagal,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan juga dikenakan denda.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang sukar dipercayai dan mengambil langkah berhati-hati terutamanya dalam urusan transaksi kewangan.
Sentiasa ikuti nasihat di laman media sosial seperti facebook, Instagram, TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), bagi mendapatkan maklumat mengenai modus operandi penipu itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!