Sudah-sudahlah fitnah Pengerusi Masjid Al-Busyra

MERAK Jalanan simpati dengan nasib yang menimpa Pengerusi Masjid Al-Busyra di Merbok, Kedah, Mohd Firdaus Mat Akhir yang kerap menjadi mangsa fitnah.
Individu tertentu menuduh di media sosial kononnya beliau menyeleweng kutipan infaq dan mengambil komisen dalam projek pembangunan, termasuk hotel yang dibina di kawasan masjid.
Ekoran daripada itu, Mohd Firdaus menyatakan kesediaannya untuk disiasat oleh SPRM. Beliau juga bersedia mengupah peguam untuk mengambil tindakan undang-undang.
Masjid Al-Busyra yang terletak di Pekan Merbok dibina pada tahun 1972. Selepas pengurusannya diambil alih oleh Mohd Firdaus pada tahun 2018, pelbagai inisiatif dilakukan.
Antaranya menaik taraf ruang solat, menambah hiasan seni reka masjid, membina tandas dan medan selera ala R&R lebuh raya, perpustakaan mini serta kemudahan tempat letak kereta yang selesa dan terkini, kemudahan hotel.
Dengan inisiatif itu, masjid itu menjadi terkenal dalam kalangan pengunjung dari dalam dan luar kawasan tersebut sehingga menjadi destinasi yang wajib dikunjungi.
Ini sekali gus menyebabkan hasrat Mohd Firdaus untuk mengimarahkan masjid tersebut telah menjadi kenyataan dan inilah yang patut dicontohi oleh masjid-masjid lain di negara ini.
Namun perjuangan Mohd Firdaus, tidak semudah yang disangka. Pelbagai onak dan duri diharungi, apatah lagi ada golongan yang tidak senang dengan usaha beliau dan bertentangan dengan pemikiran lama.
Bagi mereka ini, masjid hanyalah tempat untuk menunaikan solat dan majlis-majlis berkaitan keagamaan sahaja. Selebihnya, tidak sesuai dibuat di masjid.
Merak Jalanan rasakan sudah sampai masa pemikiran jumud ini dibuang jauh-jauh dan umat Islam mula memikirkan masjid sebagai sebuah pusat komuniti yang penting kepada kehidupan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!