Terlajak tayang di media sosial, akhirnya terbuka pekung sendiri

ZAMAN sekarang Ini, makin ramai pempengaruh suka sangat menayang segala benda di media sosial. Dari tudung bawal berharga RM5,000 sampai cawan kopi bercop jenama luar negara yang kononnya daily routine.
Tak cukup dengan itu, tayang pula rumah ala istana, bertukar-tukar kereta mewah dan kononnya kehidupan rumah tangga ibarat drama Korea 15 episod.
Tapi apabila dikorek-korek, rupanya ada yang hidup mewah sebab hasil jual dadah, scam orang sana sini dan aktiviti penggubahan wang haram. Dah macam kartel online pula.
Konon nak tunjuk hard work pays off, tapi bila diselidik, rupa-rupanya mewah bukan sebab titik peluh. Macam-macam helah, asal nampak kaya.
Lebih melucukan, ada pasangan pempengaruh konon romantik tak ingat dunia, peluk cium depan kamera, ayat manis macam baru kahwin semalam. Tapi belakang tabir, hidup tunggang-langgang. Ada yang siap kena cerai semasa tengah buat live! Betapa lakonan atas skrin tak sama dengan realiti. Semua demi engagement dan likes, walau hati sendiri sengsara.
Merak Jalanan tak hairan kenapa semua ini terjadi. Sebab bila manusia terlalu obses nak nampak lebih di mata orang, ALLAH tarik satu-satu nikmat yang mereka bangga-banggakan.
Inilah jadinya bila hidup hanya nak tayang dan puaskan mata orang. Islam dah lama pesan, jangan ujud, jangan riak. Tak semua benda kita perlu kongsi apatah lagi bab rumah tangga, rezeki dan kemewahan. Ada sebab agama suruh kita bersederhana dan jaga aib sendiri. Bila dah terlalu menunjuk, kadang-kadang ALLAH buka satu-satu keburukan kita sebagai pengajaran - bukan untuk malukan, tapi untuk menyedarkan.
Pesan Merak Jalanan, cukup-cukuplah terlalu obses nak nampak hebat di mata manusia, sampai terlupa pandangan Tuhan.
Rezeki bukan untuk ditayangkan, bahagia bukan untuk dipamerkan. Bila diam-diam, hidup lagi tenang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!