Terdesak perlukan tandas, wanita tumpang balai polis tengah malam

Nur Syaza Aufa (kiri) yang terpaksa 'menumpang' tandas balai polis gara-gara tandas di stesen minyak ditutup.
Nur Syaza Aufa (kiri) yang terpaksa 'menumpang' tandas balai polis gara-gara tandas di stesen minyak ditutup.
A
A
A

SHAH ALAM - Gara-gara tandas di stesen minyak ditutup, seorang wanita nekad ke balai polis berhampiran semata-mata untuk membuang 'hajat' pada waktu tengah malam.

Kisah tersebut diceritakan semula oleh, Nur Syaza Aufa Sabri, 26, yang berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 1.30 pagi pada Januari lalu, selepas dia dan dua rakannya selesai bermain badminton.

Menurutnya yang berasal dari Kedah, selepas makan di restoran mamak, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum dia meminta rakannya singgah di sebuah stesen minyak untuk ke tandas.

Namun, setibanya di stesen minyak tersebut, Nur Syaza Aufa kecewa apabila tandas telah dikunci dan kakitangan kaunter memaklumkan ia ditutup selepas jam 10 malam.

“Jalan satu hala dan tiada peluang untuk pusing semula. Kawan saya beri cadangan untuk pergi balai polis di depan, jadi jadi saya cakap ‘bedal’ sahaja lah, balai polis pun balai polis lah.

“Saya tahu perkara ini orang tak pernah terfikir sebab selalunya akan pergi ke masjid atau restoran...tapi disebabkan saya memang terdesak dan tak ada pilihan, itu sahaja yang saya mampu fikir,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Nur Syaza Aufa, sebaik tiba di pekarangan Balai Polis Petaling, dia memberanikan diri untuk meminta izin menggunakan tandas.

“Saya jumpa polis jaga pos dan minta izin nak tumpang tandas. Nasib baik mereka sangat baik, siap bergurau kata ‘jangan lupa bayar 20 sen’.

Artikel Berkaitan:

“Tak dinafikan saya rasa selamat guna tandas di balai polis, bukan sahaja selamat, tandas pun bersih!,” pujinya.

Katanya, insiden tersebut dirakam rakannya dan dimuat naik ke TikTok pada 4 Mei lalu, meraih perhatian ramai kerana dianggap lucu dan luar daripada kebiasaan.

Kongsinya lagi, secara tidak langsung pengalaman itu membuatkan dia lebih sedar tentang aspek keselamatan, terutama ketika menggunakan tandas awam pada waktu malam.

“Sekarang ini, perempuan, nak guna tandas awam bahaya. Banyak kes kamera tersembunyi, orang yang berniat jahat...lelaki pun sudah tak selamat sebenarnya.

“Malam-malam seperti itu, kita tak tahu siapa yang akan ada dalam tandas bersama kita, baik atau jahat. Ya, saya bercakap mengenai penggunaan tandas awam pada lewat malam, keadaan di mana mungkin berlaku perkara tidak diingini.

“Jadi, bagi saya...pergi ke balai polis adalah pilihan yang sangat bagus dan bijak,” katanya.

Ujar Nur Syaza Aufa, kekurangan akses kepada tandas awam yang bersih dan selamat pada waktu malam merupakan satu masalah yang wajar diberi perhatian.

“Saya faham bukan semua orang berjaga malam, tapi ramai juga yang kerja syif, main sukan atau baru habis berniaga dan perlukan tandas.

“Stesen minyak pula banyak yang tutup tandas lepas jam 10 malam. Kalau tandas awam itu pun suram, tak berjaga dan tak selamat, memang jadi masalah,” luahnya.

Dalam pada itu, Nur Syaza Aufa turut menjelaskan, tidak berniat untuk menggalakkan orang ramai ke balai polis hanya untuk ke tandas, tetapi ia boleh menjadi alternatif yang lebih selamat dalam situasi mendesak.

“Kalau rasa tempat tu sunyi, orang sekeliling nampak mencurigakan, lebih baik pergi balai polis. Mana mungkin polis nak marah kita minta tolong,” katanya.

Susulan itu, dia berharap tandas awam dapat dibuka hingga lewat malam dan diselia dengan baik bagi memudahkan urusan orang yang aktif pada waktu tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!