Penduduk merusuh bakar rumah ketua kampung seleweng beras

Keadaan rumah ketua kampung yang dibakar penduduk.-Agensi
Keadaan rumah ketua kampung yang dibakar penduduk.-Agensi
A
A
A

LAMPUNG TENGAH – Polis Daerah Lampung Tengah telah mengambil keterangan lebih 200 saksi berhubung siasatan kes penyelewengan bantuan beras (bansos) yang dikaitkan dengan Ketua Kampung Gunung Agung, SKD.

Insiden tersebut dipercayai menjadi pencetus kepada rusuhan yang mengakibatkan rumah ketua kampung berkenaan dibakar oleh sekumpulan penduduk.

Ketua Unit Siasatan Jenayah (Satreskrim) Ibu Pejabat Polis Lampung Tengah, Inspektor Satu (Iptu) Pande Putu Yoga Mahendra memaklumkan siasatan masih berjalan dan pihaknya sedang berusaha melengkapkan keterangan daripada penerima bantuan beras yang dipercayai menjadi mangsa penyelewengan.

“Daripada lebih 1,000 penerima bantuan, kami telah memanggil sekitar 500 orang, namun setakat ini hanya 200 orang hadir dan memberikan keterangan,” katanya ketika ditemui pada Selasa, lapor Kompas.com.

Siasatan awal mendapati bantuan beras yang sepatutnya diagihkan kepada penduduk miskin telah dijual oleh pihak tertentu ke kawasan lain.

Difahamkan, sebanyak 10 tan beras diselewengkan dan hasil jualan digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Setiap keluarga sepatutnya menerima 10 kilogram beras, namun ada penduduk yang langsung tidak menerima bantuan itu,” jelas beliau.

Rusuhan tercetus pada Sabtu lalu apabila sekumpulan penduduk yang berang membakar rumah SKD di Kampung Gunung Agung, Kecamatan Terusan Nunyai, yang terletak di sepanjang Jalan Lintas Sumatera (Jalinsum) bahagian timur.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian sama, 15 buah kenderaan turut musnah dalam kebakaran.

Ketua Polis Daerah Lampung Tengah, Asisten Komisioner Besar Polis (AKBP) Alsyahendra menyeru masyarakat agar tidak terpengaruh dengan sebarang khabar angin atau tuduhan tidak berasas yang boleh memburukkan lagi keadaan.

“Kami memberi jaminan bahawa semua kes jenayah yang berlaku, termasuk insiden tikaman yang dikatakan mencetuskan rusuhan serta dakwaan penyelewengan bantuan oleh ketua kampung, akan disiasat secara profesional dan menyeluruh,” tegasnya.

Beliau turut menasihatkan penduduk agar menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan keselamatan awam. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!