Kerja perobohan rumah di Kampung Jempangah ditangguh

Penduduk ditenangkan selepas melihat rumah mereka dirobohkan di hadapan mata susulan perintah mahkamah dalam kejadian di Kampung Jempangah, Beaufort.
Penduduk ditenangkan selepas melihat rumah mereka dirobohkan di hadapan mata susulan perintah mahkamah dalam kejadian di Kampung Jempangah, Beaufort.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Keengganan penghuni meninggalkan kediaman masing-masing menyebabkan kerja perobohan struktur rumah yang dijalankan di Kampung Jempangah, Beaufort, ditangguhkan sehingga Ahad ini.

Ketika ini, kesemua penghuni rumah diberi tempoh selama lima hari untuk keluar dari kediaman masing-masing sebelum struktur rumah di kawasan itu dirobohkan atas perintah mahkamah melalui tuntutan pemilik tanah berkenaan.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS), Hashima Hasbullah, kerja perobohan yang bermula jam 10 pagi Rabu itu dilakukan mengikut arahan mahkamah yang memerintahkan penduduk mengosongkan kawasan terbabit.

Antara rumah yang dirobohkan di Kampung Jempangah, Beaufort.
Antara rumah yang dirobohkan di Kampung Jempangah, Beaufort.

"Setakat hari ini, sebanyak empat rumah telah dirobohkan tetapi tidak secara keseluruhan kerana terdapat penduduk yang enggan berganjak keluar dari rumah.

"Disebabkan itu, kerja perobohan terpaksa ditangguhkan apabila pemilik tanah bersetuju supaya penduduk diberi tempoh sehingga Ahad untuk berkemas serta keluar dari kampung tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Bagaimanapun, katanya, terdapat surat daripada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) kepada pemilik tanah yang memohon agar proses tersebut ditangguhkan.

Tambahnya, penduduk kesuntukan masa untuk mempertahankan hak mereka kerana hanya mengetahui tanah itu bukan milik mereka pada tahun 2024 menerusi dokumen mahkamah, walaupun permohonan pewartaan perkampungan telah dibuat sejak tahun 1991.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kesuntukan masa, Pengarah JTU telahpun mengeluarkan surat permohonan penangguhan tindakan pengusiran penduduk kampung dan disertakan bersama surat dari Pejabat Ketua Menteri Sabah.

"Namun, keputusan untuk menangguhkan atau membatalkan pengusiran adalah tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara pemilik tanah kerana ia melibatkan perintah mahkamah," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai status tanah berkenaan, Hashima menjelaskan bahawa geran tersebut berstatus Tanah Pajakan Negara (CL) yang menyukarkan proses berkenaan.

"Tanah itu asalnya milik Syarikat Borneo Utara British sejak tahun 1911 sebelum bertukar milik kepada sebuah syarikat getah. Nenek moyang mereka bekerja dan tinggal di situ.

"Apabila kita merdeka dan orang British pulang ke England, mereka dibenarkan terus tinggal di kawasan itu sehingga pada satu ketika perlu membuat permohonan sebagai tanah perkampungan.

"Permohonan telah dibuat tanpa sebarang penolakan, namun akhirnya dimaklumkan bahawa tanah tersebut sudah dimiliki orang lain," katanya.

Tambah Hashima, beliau bersama beberapa penduduk telah membawa isu tersebut kepada perhatian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Ketua Menteri sendiri telah meminta Pengarah JTU untuk mencari penyelesaian yang lebih baik bagi menangani isu ini," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 200 penduduk berdepan tindakan pengusiran dari tanah yang didiami sejak 80 tahun lalu selepas kawasan itu disahkan sebagai milik individu lain.

Difahamkan sebanyak 53 rumah terlibat dalam arahan pengosongan yang melibatkan kawasan seluas kira-kira empat hektar, menerusi notis mahkamah yang diterima pada 7 Mei lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!