[VIDEO] 'Sudah sebulan makcik dapat rasakan Ecah akan mati' - Ibu mangsa kelar
TANGKAK – [DIKEMAS KINI] “Dalam masa sebulan, makcik (ada) rasa anak aku akan mati.”
Demikian luahan Fatimah Seman, 63, ibu kepada 'Ecah' atau Iecah Junus, 34, yang maut selepas dikelar suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir, di sini, Isnin lalu.
Menurut ibu kepada empat beradik itu, suspek sudah lama tidak membenarkan arwah yang bekerja sebagai kerani kilang bertemu dengan ibu bapa serta ahli keluarga lain.
“Pada petang Isnin, selepas pulang kerja, arwah ada bergaduh mulut dengan suami.
“Dia (menantu) dah lama tak tegur makcik. Dia tak benarkan anak makcik jumpa mak, bapa, adik-beradik, saudara-mara. Jangan dekat langsung.
“Anak saya memang nak jumpa saya. Hari sebelum dia meninggal dunia, makcik sempat jumpa dia untuk ambil beras yang arwah beli di Thailand. Mereka baru balik berjalan,” katanya ketika ditemui di kediaman yang terletak di Kampung Pengkalan Kota Durian Chondong, di sini, pada Rabu.

Tambahnya, pada malam kejadian, dia memaklumkan kepada suami merasakan menantunya akan datang ke rumah dan ‘menghantar’ sesuatu.
Ujarnya, mujur dia dan keluarga tersedar ketika suspek datang ke rumah untuk membakar kediaman tersebut, namun tindakan itu berjaya dihentikan sebelum api mula merebak.
“Dia datang bakar kereta, bakar motor. Kalau lambat bangun, satu keluarga makcik, anak cucu makcik dah mati.
“Makcik cakap, selamatkan kereta, kalau kereta terbakar, meletup... habis rumah kita,” ujarnya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang isteri maut selepas dipercayai dikelar suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir, di sini pada Isnin.
Menurut sumber, suspek yang berusia lingkungan 30-an itu turut dipercayai cuba membakar rumah ibu mentuanya di Lenga, Pagoh, Muar yang terletak kira-kira 40 kilometer dari kediamannya.
Tindakan suspek itu bagaimanapun tidak berjaya dan hanya sempat membakar beberapa kenderaan yang berada di bahagian luar rumah.
Suspek kemudian berjaya diberkas polis selepas pulang ke kediamannya di Bukit Gambir pada pagi Selasa.
Pada Khamis, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak dan direman selama tujuh hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!