Lagi kes langgar gajah, suami isteri nyaris maut

KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh seekor gajah yang melintas di Kilometer 50, Jalan Johor Bahru-Mersing, pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 malam ketika pasangan terbabit dalam perjalanan dari Kota Tinggi menuju ke Mersing.
“Sebaik tiba di lokasi, empat ekor gajah tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pemandu gagal mengelak lalu merempuh salah seekor haiwan berkenaan.
“Akibat rempuhan itu, bahagian hadapan Perodua Alza terbabit mengalami kerosakan, namun kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 40 dan 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, haiwan tersebut kemudiannya melarikan diri masuk semula ke kawasan hutan berhampiran sejurus insiden berlaku.
"Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berwaspada, terutamanya ketika melalui kawasan berhampiran hutan pada waktu malam," katanya.
Sebelum itu, tular rakaman kemalangan melibatkan sebuah MPV dengan seekor gajah liar di laluan terbabit, yang turut kedengaran bunyi suara gajah disyaki dilanggar.
Kejadian itu juga bukanlah insiden pertama melibatkan kenderaan dan gajah di kawasan berkenaan, yang sememangnya menjadi laluan haiwan liar tersebut untuk melintas.
Pada 17 Mac lalu, sepasang suami isteri mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh seekor gajah yang menghalang laluan di Jalan Mawai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!