Wajah empat anak seni terpampang di Osaka

EMPAT ikon muzik Malaysia yang paling berpengaruh dan ikonik diberi penghormatan untuk berada di Hall of Fame Malaysia.
Wajah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tan Sri P Ramlee, Ernie Zakri, serta kumpulan pop wanita terkenal, DOLLA, terpampang di dalam Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2025 Osaka, Jepun.
Hall of Fame Malaysia merupakan tarikan budaya utama pavilion ini, meraikan kecemerlangan negara melalui penceritaan dan pengalaman audiovisual.
Setiap artis yang dipilih mewakili era yang berbeza dalam evolusi muzik Malaysia, daripada zaman kegemilangan Tan Sri P. Ramlee sehinggalah kepada pengaruh global masa kini oleh DOLLA, memaparkan bagaimana muzik Malaysia telah merentas sempadan dan memberi inspirasi kepada pelbagai generasi.
Berkongsi perasaan mengenai pemilihan DOLLA dalam pameran tersebut, anggota kumpulan itu, Tabby, melihat tahun 2025 cukup mengujakan buat mereka bertiga.
"Dilantik ke dalam Hall of Fame Malaysia di Osaka adalah satu penghormatan yang amat besar buat kami, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia) kerana bukan sahaja mengiktiraf kami di tanah air, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
"Kami berbangga mewakili Malaysia dan berharap lebih banyak pencapaian menanti kami pada masa akan datang," ujarnya.
Dalam pada itu, Ernie turut meluahkan rasa syukur dan berbesar hati kerana perjalanan kerjayanya sepanjang beberapa tahun ini telah diiktiraf dan dihargai oleh semua, terutamanya para pendengar di Malaysia.
"Disebabkan kejayaan ini, nama saya kini telah ditempatkan di Hall of Fame Osaka. Sudah tentu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga Universal Music Malaysia dan juga para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong serta sentiasa menantikan apa sahaja projek baharu daripada saya. Saya gembira dan bersyukur pada masa yang sama," ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!