[VIDEO] Tiada usaha selamatkan perkahwinan, Zahnita nekad bercerai

A
A
A

KUANTAN – Bekas pelakon dan model terkenal, Zahnita nekad untuk bercerai dengan suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, 47, selepas berasakan rumah tangga yang dibina sejak hampir dua dekad lalu tidak lagi dapat diselamatkan.

Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, berkata, keputusan itu dibuat selepas menyedari tiada sebarang usaha daripada pihak suami untuk memperbaiki dan menyelamatkan perkahwinan mereka.

Menurutnya, sepanjang tempoh perbicaraan kes di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, mereka tidak pernah bertemu atau berhubung secara peribadi, sebaliknya semua urusan hanya dilakukan menerusi peguam.

“Macam mana nak teruskan, kalau orang sudah tidak mahukan kita, tiada pun usaha untuk memujuk... jadi saya hanya mahu teruskan hidup saya.

“Tiada (hubungan secara peribadi), semua melalui peguam... keputusan untuk (bercerai), saya sudah nekad dan tiada jalan untuk berpatah balik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Syariah Kuantan di sini pada Isnin.

Zahnita (tengah) sedang mendengar penerangan kes daripadanya peguam syarie yang dilantik selepas berakhirnya prosiding pemohon perceraian yang difailkan di Mahkamah Syariah Kuantan. Foto Sinar Harian.
Zahnita (tengah) sedang mendengar penerangan kes daripadanya peguam syarie yang dilantik selepas berakhirnya prosiding pemohon perceraian yang difailkan di Mahkamah Syariah Kuantan. Foto Sinar Harian.

Tiga kes disebutkan di mahkamah melibatkan permohonan injunksi bagi menghalang gangguan, hadanah termasuk hak lawatan dan bermalam anak, serta tuntutan perceraian.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, proses perceraian kini berada di peringkat lantikan hakam oleh mahkamah, namun usaha terakhir untuk mendamaikan kedua-dua pihak melalui lantikan hakam keluarga dilaporkan gagal.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Zahnita, Nur Ashikin Abdul Rahim berkata, kes perceraian Zahnita kini telah memasuki peringkat akhir selepas proses rundingan melalui hakam keluarga gagal mencapai kata sepakat.

Jelasnya, mahkamah memutuskan agar satu panel hakam dilantik bagi kedua-dua pihak.

"Proses ini merupakan peringkat terakhir dalam kes perceraian apabila salah seorang pasangan tidak bersetuju untuk bercerai.

“Kita sudah lalui tiga peringkat iaitu bermula dengan Jawatankuasa Pendamai (JKP), kemudian Hakam Keluarga dan kini masuk ke peringkat Hakam Panel.

"Mahkamah tetapkan tarikh pelantikan Hakam Panel pada bulan Jun, manakala keputusan penuh dijangka akan dibuat sekitar Julai atau Ogos," ujarnya.

Zahnita (kanan) hadir di Mahkamah Syariah Kuantan dengan ditemani abangnya pada Isnin. Foto Sinar Harian.
Zahnita (kanan) hadir di Mahkamah Syariah Kuantan dengan ditemani abangnya pada Isnin. Foto Sinar Harian.

Selain itu, Nur Ashikin memberitahu, pihaknya memohon perintah interim injunksi bagi menghalang kedua-dua pihak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media berhubung kes hadanah membabitkan anak pasangan berkenaan.

Menurutnya, permohonan tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuantan demi menjaga privasi anak dan kelancaran prosiding mahkamah.

“Mahkamah telah memerintahkan supaya tiada kenyataan media dikeluarkan oleh mana-mana pihak termasuk anak-anak mereka.

"Malah, media juga diminta untuk tidak menyiarkan sebarang perkara berkaitan kes hadanah ini,” katanya.

Tambahnya, mahkamah turut membenarkan permohonan anak guamnya untuk mengambil semula barangan peribadi dari rumah kelamin yang akan diserahkan oleh pihak suami melalui pembantu atau pemandu peribadi.

Zahnita
Zahnita

Pada 2 Disember tahun lalu, Zahnita berkongsi foto dalam Instagram memaparkan bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam.

Dakwa aktres berkenaan, punca kecederaan tersebut adalah disebabkan dibelasah oleh suami sendiri selain mengatakan Zackery mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Susulan itu, pada 4 Disember 2024, Zachery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.

Bagaimanapun Zachery mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Zahnita kemudiannya nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember tahun lalu.

Kemudian pada Mac lalu, Zackery memaklumkan pihak mahkamah menggugurkan tuduhan dirinya daripada dakwaan mendera empat orang anaknya selain mendapat hak lawatan dan bermalam.

Zackery mendirikan rumah tangga dengan Zahnita pada 2005 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!