Mangsa ah long dibelasah, ditinggalkan dalam keadaan bogel

KUALA TERENGGANU - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu berjaya menumpaskan satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen yang bertindak ganas terhadap peminjam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, operasi dijalankan susulan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu berhubung kejadian seorang lelaki tempatan menjadi mangsa kekerasan oleh sindiket berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu diambil dalam satu operasi khas dikenali sebagai Op Vulture yang dijalankan pada Selasa dan Rabu.
"Kejadian berlaku pada 20 Mei (Selasa) apabila mangsa berusia 24 tahun menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk membuat pinjaman wang.
"Mangsa kemudian dibawa masuk ke dalam sebuah kereta sebelum dipukul, dilucutkan pakaian dan ditinggalkan dalam keadaan berbogel di kawasan semak berhampiran Bukit Khor, Marang.
"Barang peribadi mangsa seperti telefon bimbit, dompet dan kad pengenalan turut dirampas," katanya di sini pada Rabu.
Beliau berkata, susulan aduan itu, Pasukan Risikan dan Operasi JSJK Terengganu berjaya menahan lima lelaki berusia antara 16 hingga 39 tahun yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan pinjaman haram tersebut.
"Hasil siasatan mendapati kesemua suspek mengaku menjalankan aktiviti pinjaman wang haram di sekitar Kuala Terengganu sejak Mac lalu," ujarnya.
Beliau berkata, turut dirampas dalam operasi berkenaan dua buah kereta jenis Proton Saga, lima unit telefon bimbit serta pakaian milik mangsa yang ditemui semula hasil maklumat daripada suspek.
Jelasnya, semakan rekod lampau mendapati tiga daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah.
"Permohonan reman telah dibuat ke atas kesemua suspek selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 5(2) dan 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata polis komited membanteras jenayah berkaitan pinjaman wang tanpa lesen menggunakan kekerasan dan mengancam keselamatan awam.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terjebak dengan pinjaman wang tidak sah dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat berkaitan aktiviti itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!