Wawasanita intai peluang eksport produk makanan halal pada Expo Iran 2025

PERSATUAN Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita) menandatangani 11 Surat Niat (LOI) dengan pelbagai industri dan syarikat Iran pada Pameran Export Potential of Iran (Iran Expo 2025) ketujuh yang berlangsung di negara itu baru-baru ini.
Presidennya, Dr Norlaili Alias berkata, perjanjian tersebut merangkumi kerjasama dalam aspek pembekalan produk, pembangunan jenama bersama, pengedaran eksklusif bagi pasaran Malaysia dan Asia Tenggara termasuk kolaborasi untuk mengimport produk dari Iran seperti teknologi kesihatan, produk herba/organik dan makanan kesihatan.
Expo Iran 2025 yang berlangsung antara 28 April hingga 2 Mei 2025 adalah acara perdagangan tahunan terbesar di negara itu dan menyediakan peluang terbaik kepada peserta untuk berhubung dengan pasaran global.
Pameran itu yang menarik lebih 2,500 peniaga, pengarah ekonomi dan ketua dewan perniagaan dari lebih 100 negara merupakan kerjasama antara Kementerian Industri, Lombong dan Perdagangan serta Kementerian Luar Negeri, dengan Pertubuhan Pembangunan Perdagangan Iran dan institusi kerajaan dan swasta yang lain.
Menurutnya, Wawasanita turut melihat potensi eksport yang sangat positif bagi produk Malaysia ke pasaran Iran, terutamanya dalam bidang makanan halal, produk kesihatan berasaskan tropika seperti minyak kelapa dara dan herba Melayu, serta kosmetik halal tempatan.
"Iran amat menghargai produk yang memiliki bersijil halal Malaysia yang berkualiti tinggi, dan ini membuka peluang besar kepada usahawan Malaysia, terutamanya PKS yang ingin melebarkan sayap ke pasaran Asia Barat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!