Antara keperluan harian dan tuntutan ibadah


JIKA seseorang pengguna sengaja cuai, tidak menyemak kandungan atau asal-usul bahan dalam produk yang digunakan terutama yang menyentuh badan atau berkaitan dengan ibadah, maka ia boleh termasuk dalam dosa kecuaian kerana mengabaikan kewajipan menjaga taharah (kesucian). -Foto: CANVA
JIKA seseorang pengguna sengaja cuai, tidak menyemak kandungan atau asal-usul bahan dalam produk yang digunakan terutama yang menyentuh badan atau berkaitan dengan ibadah, maka ia boleh termasuk dalam dosa kecuaian kerana mengabaikan kewajipan menjaga taharah (kesucian). -Foto: CANVA
A
A
A

PEMILIHAN produk seperti tisu basah, penjagaan kulit termasuk losen dan krim muka yang menjadi keperluan harian tidak boleh dipandang remeh dalam kehidupan seorang Muslim.

Apatah lagi jika melibatkan anggota badan yang wajib dibasuh ketika berwuduk.

Demikian peringatan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Dr Farrah Payyadhah Borhan.

DR FARRAH PAYYADHAH
DR FARRAH PAYYADHAH

Walaupun hanya digunakan pada bahagian luaran tubuh dengan tujuan membersihkan diri, namun katanya, semua produk yang dikategorikan sebagai kosmetik itu perlu dipastikan halal mengikut Standard Malaysia Halal Kosmetik MS 2634.

“Ini kerana kebanyakan ramuan asas dalam formulasi kosmetik adalah di bawah kategori kritikal seperti pelarut (alkohol), minyak dan lemak haiwan contohnya gliserin, ekstrak tumbuhan, pigmen warna, enzim dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Beliau menjelaskan, pensijilan halal itu penting bagi memelihara kesucian iman (taharah spiritual) dan kesahan ibadah.

Artikel Berkaitan:

Jamin kesahan ibadah

Mengambil contoh penggunaan tisu basah, ahli akademik itu menjelaskan, ia boleh digunakan sebelum berwuduk dengan syarat tidak mengandungi bahan najis atau meninggalkan lapisan kalis air.

Jika bahan seperti alkohol najis, silikon atau lilin wujud, maka ia boleh menghalang air wuduk dan menyebabkan ibadah tidak sah, jelasnya.

Begitu juga halnya dengan penggunaan krim wajah kalis air yang mana wuduk tidak sah andai ia menghalang air sampai ke kulit.

TISU basah boleh digunakan sebelum berwuduk dengan syarat tidak mengandungi bahan najis atau meninggalkan lapisan kalis air. -Foto: CANVA
TISU basah boleh digunakan sebelum berwuduk dengan syarat tidak mengandungi bahan najis atau meninggalkan lapisan kalis air. -Foto: CANVA

“Perlu diketahui bahawa wuduk ialah perbuatan mengalirkan air pada anggota-anggota tertentu berserta dengan niat bagi tujuan mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh.

“Seseorang itu dikira sah wuduknya jika memenuhi semua rukun dan syarat sah, antaranya menggunakan air mutlak tanpa bercampur dengan bahan-bahan lain dan mengalirkan air pada anggota tertentu,” terangnya.

Disebabkan itu, beliau mengingatkan pengguna supaya lebih berhati-hati agar tidak mudah terjerat dengan strategi pemasaran yang menggunakan perkataan ‘kosmetik patuh syariah’, ‘mesra wuduk’ dan ‘telap air’.

“Ingatlah, mencari yang halal itu merupakan kewajipan setiap Muslim. Ia bukan hanya penting bagi melaksanakan tuntutan ibadah, tetapi juga memelihara kesucian iman, keselamatan pengguna dan menyokong piawaian industri nasional yang diiktiraf menerusi pensijilan halal Malaysia,” ungkapnya.

Elak dosa akibat cuai semak produk

Fakta sama turut dipersetujui oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Industri Halal, ACIS UiTM, Shah Alam, Selangor, Dr Nurzahidah Jaapar.

DR NURZAHIDAH
DR NURZAHIDAH

Beliau yang pakar dalam bidang syariah halal itu menjelaskan, penilaian terhadap kesesuaian produk dalam konteks ibadah perlu berlandaskan prinsip asas fiqh dan maqasid syariah.

"Produk yang digunakan secara langsung pada tubuh seperti kosmetik, tisu basah, losen dan pewangi boleh memberi kesan kepada sah atau tidaknya ibadah seperti wuduk dan solat," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kecuaian menyemak bahan kandungan produk boleh menjadi dosa, khususnya jika menjejaskan ibadah.

"Kalau seseorang pengguna sengaja cuai, tidak menyemak kandungan atau asal-usul bahan dalam produk yang digunakan terutama yang menyentuh badan atau berkaitan dengan ibadah, maka ia boleh termasuk dalam dosa kecuaian kerana mengabaikan kewajipan menjaga taharah (kesucian).

“Hal ini lebih berat jika produk tersebut mengandungi bahan najis atau haram dan tanpa usaha menyelidikinya.

“Namun, Islam juga meletakkan prinsip keadilan dan keseimbangan. Jika seseorang tidak tahu, tetapi telah berusaha semampunya seperti membaca label, bertanya kepada pihak berautoriti atau menggunakan produk yang diyakini bersih, maka ia tidaklah berdosa kerana berada dalam kategori jahilma’zur (kejahilan yang dimaafkan)," jelasnya.

Beliau turut menasihati pengguna agar menjadikan semakan label halal sebagai kebiasaan, sama seperti menyemak tarikh luput atau harga.

“Ambillah sedikit masa untuk baca label atau buat semakan melalui aplikasi Halal Verified Engine oleh Jakim.

PENGGUNA Muslim diingatkan supaya lebih berhati-hati agar tidak mudah terjerat dengan strategi pemasaran yang menggunakan perkataan sinonim dengan halal contohnya ‘kosmetik patuh syariah’, ‘mesra wuduk’, ‘telap air’ dan seumpamanya. -Foto: CANVA
PENGGUNA Muslim diingatkan supaya lebih berhati-hati agar tidak mudah terjerat dengan strategi pemasaran yang menggunakan perkataan sinonim dengan halal contohnya ‘kosmetik patuh syariah’, ‘mesra wuduk’, ‘telap air’ dan seumpamanya. -Foto: CANVA

“Tindakan ini dapat membantu kita memastikan kesucian diri, menjaga ibadah dan melindungi keluarga daripada menggunakan produk yang syubhah atau tidak halal. Ia juga sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai Muslim yang peka terhadap halal dan haram dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

ANEKDOT

Hukum penggunaan alkohol dalam produk harian

Penggunaan alkohol dalam produk seperti tisu basah, losyen dan minyak wangi sering menimbulkan kekeliruan.

Berikut merupakan fakta penting berkaitan tentangnya:

1. Alkohol merupakan bahan yang terdapat di dalam arak (khamr).

Khamr ialah minuman beralkohol diharamkan Islam. Dalam Surah al-Maidah ayat ke-90, ALLAH SWT telah melarang dan mengharamkan umat Islam untuk meminum arak kerana merupakan perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Jelas bahawa pengharaman arak adalah kerana bahan tersebut memabukkan.

PENSIJILAN halal dalam produk harian termasuk penjagaan diri penting bagi memelihara kesucian iman (taharah spiritual) dan kesahan ibadah kerana bahan haram yang meresap dalam penggunaan boleh menjejaskan kesucian diri dan merosakkan ibadah seperti solat. -Foto: CANVA
PENSIJILAN halal dalam produk harian termasuk penjagaan diri penting bagi memelihara kesucian iman (taharah spiritual) dan kesahan ibadah kerana bahan haram yang meresap dalam penggunaan boleh menjejaskan kesucian diri dan merosakkan ibadah seperti solat. -Foto: CANVA

2. Tidak semua alkohol itu arak, tetapi semua arak mengandungi alkohol.

Alkohol ialah nama saintifik bagi sebatian kimia yang mempunyai kumpulan hidroksi (OH). 3. Alkohol bukan semestinya haram atau najis.

Alkohol yang dihasilkan bukan daripada proses pembuatan arak adalah harus digunakan. Contohnya, isopropil, cetil, steatil dan cetearyl alcohol.

4. Alkohol yang berasal daripada proses fermentasi untuk menghasilkan arak adalah haram.

5. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-7 yang bersidang pada 11 hingga 12 April 1984 memutuskan ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

*Sumber: Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Dr Farrah Payyadhah Borhan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!