Anugerah Belia Pahang: Dua ikon sepakat kongsi hadiah kemenangan dengan komuniti

KUANTAN - Dua penerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang 2025 tidak menjadikan hadiah wang tunai RM10,000 yang dimenangi sebagai ganjaran peribadi, sebaliknya memilih untuk berkongsi semula bagi membantu komuniti belia di negeri ini.
Johan kategori lelaki, Mohamad Haikal Zakaria, 29, manakala kategori wanita pula, Nur Azreena Faizan, 26, sepakat menyalurkan semula insentif berkenaan untuk menganjurkan pelbagai program pembangunan dan kebajikan khusus buat golongan muda.
Mohamad Haikal berkata, kemenangan yang diraih bukan sekadar gelaran semata-mata, tetapi ia adalah peluang untuk dipulangkan semula kepada golongan belia yang banyak menyumbang kepada pencapaiannya selama ini.
“Saya anggap ini mungkin sumbangan kecil, sebab apa yang saya dapat pun adalah hasil daripada belia.
“Jadi, saya perlu kembalikan semula sebahagian imbuhan ini disalurkan kepada pergerakan organisasi belia di daerah Maran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Festival Belia Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang 2025, merangkumi majlis pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang di pekarangan Wisma Belia Pahang di Indera Mahkota, di sini pada Ahad.
Majlis tersebut dirasmikan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal bagi mewakili Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Media Komunikasi Parlimen Maran itu memberitahu, sebahagian daripada peruntukan akan digunakan untuk pelaksanaan program hiburan dan pembangunan diri anak muda, termasuk penganjuran pertandingan e-sukan, nyanyian serta program sempena Ambang Merdeka.
“Orang muda ini kadangkala perlu didekati dengan cara tersendiri, justeru kita akan gunakan dana ini sebagai modal untuk menjalankan aktiviti yang lebih dekat dengan jiwa mereka,” ujar beliau yang juga Pengerusi Majlis Belia Daerah Maran.
Mengimbas penglibatannya dalam dunia belia, anak kelahiran Kampung Chenor, Maran itu berkata, perjalanan beliau bermula ketika menuntut dalam bidang Sarjana Muda Pembedahan Pergigian di Chennai, India.
Jelasnya, daripada situ bermula penglibatan dalam aktiviti kesukarelawan dan persatuan mahasiswa luar negara.
“Bila balik ke kampung, saya dan kawan-kawan pula tubuhkan persatuan belia kampung serta jalankan kegiatan ekonomi orang muda di Chenor,” katanya yang pernah menyertai misi sukarelawan ke Vietnam dan Myanmar bersama Bulan Sabit Merah Malaysia.
Selain itu, bapa kepada seorang anak itu turut menulis buku bertajuk Dari Chenor ke Cenai yang diterbitkan pada 2022, hasil refleksi kehidupannya sebagai anak kampung yang berjaya melangkah jauh.
“Walaupun orang kampung tak pandai cakap Inggeris atau bergaul, tapi kalau kita bersungguh-sungguh, kita boleh berubah dan maju ke hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Azreena berkata, wang kemenangan daripada anugerah yang diterima pada hari ini akan digunakan sepenuhnya untuk manfaat komuniti.
“Seperti biasa, saya akan kembalikan sumbangan ini kepada masyarakat dan kita akan teruskan program-program kebajikan yang boleh bantu lebih ramai belia berdikari,” jelasnya.
Menurutnya, dana itu antara lain akan disalurkan untuk mengukuhkan operasi Scot Charity Shop, iaitu sebuah kedai amal berkonsepkan sosial yang ditubuhkannya di Kuantan di bawah pergerakan pengakap.
“Dulu kami mulakan dengan hanya sukarelawan. Sekarang, kedai ini menggajikan lebih 20 belia secara tetap.
“Malah, ia turut dijadikan contoh dan rujukan oleh negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia,” katanya yang merancang pelbagai inisiatif ekonomi melibatkan anak muda, khususnya menerusi perniagaan sosial dan pengurusan acara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!