Hanya 4 peratus peneroka Felda di Pahang belum terima surat hak milik

Wan Rosdy (lima dari kiri) menyerahkan surat hak milik kepada peneroka Felda Triang 3 pada Isnin.
Wan Rosdy (lima dari kiri) menyerahkan surat hak milik kepada peneroka Felda Triang 3 pada Isnin.
A
A
A

BERA – Seramai 41,286 daripada 43,126 peneroka di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Pahang telah menerima surat hak milik masing-masing setakat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu bersamaan hampir 96 peratus dan baki iaitu 1,840 peneroka lagi akan terus diusahakan sehingga selesai.

"Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited untuk membela kebajikan warga Felda. Pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan bagi menjamin hak, masa depan serta kemajuan masyarakat Felda di seluruh negeri.

"Baki yang ada disebabkan masalah teknikal seperti isu waris dan kita akan memastikan masalah ini dapat diatasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik dan Dimensi Mini Karnival Felda Pahang 2025 di Felda Triang 3, di sini, pada Isnin.

Amizar (kiri) bersama Ketua Peneroka Felda Triang 3, Abdul Wahab Yusof.
Amizar (kiri) bersama Ketua Peneroka Felda Triang 3, Abdul Wahab Yusof.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam; Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; dan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam majlis tersebut, seramai 195 peneroka Felda Triang 3 menerima suratan hak milik terbabit yang disampaikan oleh Wan Rosdy.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amizar memberitahu, kebanyakan masalah tersebut dikenal pasti berlaku di kawasan Felda Wilayah Kuantan iaitu antara 60 hingga 70 peratus, berbanding di Felda Wilayah Jengka dan Mempaga.

"Insya-ALLAH, kita anggarkan (selesai) pada tahun ini bagi kes yang tidak melibatkan masalah teknikal terlalu berat, contohnya ROH (pendaftaran hak milik).

“Maksudnya, kalau isterinya meninggal, dia (peneroka) kena masuk melalui proses mahkamah. Apabila masuk kes mahkamah, akan berlaku sedikit kelewatan,” jelasnya.

Ramli dan isterinya, Norfatimah menunjukkan suratan hak milik yang diterima.
Ramli dan isterinya, Norfatimah menunjukkan suratan hak milik yang diterima.

Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Ramli Abdullah, 67, dan Norfatimah Abu Ramli, 60, mereka bersyukur kerana penantian hampir 40 tahun berakhir dengan surat hak milik tersebut.

"Kami amat bersyukur kepada ALLAH SWT selain menghargai usaha kerajaan negeri dan Felda untuk merealisasikan impian ini," kata pasangan itu yang memasuki rancangan tersebut pada 1986.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!