Lima terkorban dua helikopter bertembung di Finland

HELSINKI - Semua lima orang yang berada dalam dua helikopter maut apabila kedua-dua pesawat itu bertembung di udara sebelum terhempas ke tanah pada Sabtu, menurut polis.
“Lima orang meninggal dunia dalam kemalangan helikopter berhampiran Lapangan Terbang Eura pada hari Sabtu,” kata Ketua Penyiasat Detektif Johannes Siirila dalam satu kenyataan.
Berdasarkan rancangan penerbangan mereka, satu helikopter membawa dua penumpang manakala helikopter satu lagi membawa tiga penumpang.
Kedua-duanya berlepas dari ibu negara Estonia, Tallinn dan dalam perjalanan ke Piikajarvi beberapa kilometer dari lokasi kejadian.
Laporan media menyatakan mangsa yang menaiki helikopter terbabit terdiri daripada ahli perniagaan.
Akhbar Finland, Iltalehti yang memetik saksi, Antti Marjanen yang melihat salah sebuah helikopter melanggar helikopter yang satu lagi semasa melakukan pusingan.
“Salah satu helikopter jatuh dengan mengeluarkan bunyi kuat manakala satu lagi jatuh dengan perlahan-lahan,” kata Marjanen. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!