Polis tembak mati penjenayah warga asing

Polis menembak mati seorang lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di daerah Kluang, Kulai dan Kota Tinggi.
Polis menembak mati seorang lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di daerah Kluang, Kulai dan Kota Tinggi.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis menembak mati seorang lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di daerah Kluang, Kulai dan Kota Tinggi.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, siasatan mendapati suspek telah bergiat aktif dengan jenayah samun sejak tahun 2024.

Malah katanya, mulai 19 Mei lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Johor telah melancarkan operasi bagi membanteras jenayah samun di seluruh Daerah Kontinjen Johor susulan beberapa insiden samun yang mengundang kebimbangan masyarakat.

"Ketika membuat rondaan cegah jenayah pada jam 3.45 pagi, Khamis, polis telah mengesan pergerakan sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran ditunggang seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Palembang, di sini.

"Polis kemudiannya mengekori rapat motosikal tersebut yang ditunggang laju sebelum memintasnya di kawasan jalan tidak berturap menghala ke kebun kelapa sawit; namun ketika dihampiri, suspek secara tiba-tiba melibas parang ke arah polis dan mengenai lengan pakaian salah seorang anggota polis.

"Suspek kemudiannya masih bertindak agresif ketika diminta menyerah diri hingga memaksa polis melepaskan tembakan demi mempertahankan diri dan keselamatan awam," katanya.

Identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ditemui.

Bagaimanapun, polis turut merampas sebilah parang, wang tunai berjumlah RM1,900, dua unit telefon bimbit dan sebuah motosikal Honda Wave.

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal polis mendapati salah satu telefon bimbit yang ditemui bersama suspek merupakan milik mangsa kes samun di Kluang, sementara motosikal Honda Wave merupakan kes kehilangan motosikal di daerah Kulai.

Susulan kejadian, polis turut mengesahkan telah berjaya menyelesaikan enam kes samun iaitu lima kes di daerah Kluang dan satu kes di daerah Kota Tinggi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan laporan mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta berhubung terus di talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7766822 atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Ahmad Nazri Yahya @ Yaakob di talian 017-7521151 bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!