Perhilitan tahan lelaki sembur cat pada monyet

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah menahan seorang lelaki yang didakwa melakukan perbuatan kejam terhadap seekor monyet dengan menyembur cat ke atas haiwan itu yang berada dalam sangkar, dalam kejadian di Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai veterinar Daerah Petaling pada jam 2.10 pagi tadi, selepas melihat video tular berkaitan kejadian berkenaan.
“Pengadu melihat video berdurasi lima saat yang tular di Facebook, memaparkan seorang lelaki menyembur cat ke arah seekor monyet di dalam sangkar. Kejadian dipercayai berlaku di Taman Desa Moccis, U17, Shah Alam.
“Hasil siasatan awal, Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh mengklasifikasikan kes ini sebagai rujukan kepada agensi lain, iaitu Jabatan Veterinar dan Jabatan Perhilitan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, Jabatan Perhilitan turut membuat satu laporan berasingan dan mengambil tindakan terhadap suspek mengikut Seksyen 86 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau dipenjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan kekejaman terhadap haiwan kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan undang-undang, selain mengingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Sarjan Mejar Azmir Azriezal Ramli di talian 019-5665870.
Terdahulu, tular sebuah video di Facebook memaparkan seorang lelaki menyembur cat ke arah seekor monyet di dalam sangkar, yang mencetuskan kemarahan netizen dan pencinta haiwan di seluruh negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!