Serangan asid: Polis siasat punca bahan kimia

Laporan Sinaran Harian berkaitan kes simbah asid.
Laporan Sinaran Harian berkaitan kes simbah asid.
A
A
A

KOTA BHARU – Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber bahan kimia yang digunakan dalam kejadian simbahan cecair dipercayai asid terhadap seorang pengusaha spa di Beris Kubur Besar, Bachok pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya sedang meneliti dari mana bahan kimia itu diperoleh, termasuk kemungkinan ia berasal dari kilang getah tempat kedua-dua suspek bekerja.

“Siasatan masih diteruskan dan kita yakin kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata, dua individu – seorang lelaki dan seorang wanita telah ditahan dan direman sehingga hujung bulan ini, namun tidak menolak kemungkinan tempoh reman dilanjutkan jika siasatan belum lengkap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin, memaklumkan usaha sedang dipergiat bagi mengesan suspek ketiga yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dipercayai masih berada di sekitar negeri ini dan melarikan diri selepas dua suspek lain ditahan baru-baru ini,” katanya.

Suspek ketiga dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan dua suspek yang ditahan, masing-masing berusia 38 dan 45 tahun, di sebuah kilang getah di Kuala Krai.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, seorang wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang.

Artikel Berkaitan:

Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki. Bagaimanapun, beliau kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!