Suspek kedua kes simbah asid direman tujuh hari

KOTA BHARU – Suspek kedua berusia 45 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes simbahan asid di Bachok direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.
Perintah reman yang berkuat kuasa hingga 29 Mei itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin, mengesahkan perintah reman berkenaan kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, suspek yang bekerja di sebuah kilang getah di Kuala Krai ditahan polis di kilang berkenaan kira-kira jam 4 petang, Khamis.
“Lelaki terbabit merupakan rakan kepada suspek wanita yang telah ditahan lebih awal, dua hari lalu.
“Dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan bahan berbahaya,” katanya.
Sebelum ini, seorang wanita berusia 38 tahun yang disyaki sebagai suspek utama telah ditahan polis di hadapan kilang sama pada Rabu lalu oleh pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Wanita tersebut direman selama lima hari bagi siasatan berhubung kejadian yang menyebabkan pengusaha spa, Nor Faziera Muda, 27, mengalami kecederaan parah selepas disimbah asid.
Kejadian berlaku pada Sabtu lalu di hadapan premis milik mangsa di Beris Kubur Besar, Bachok, dan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Wanita itu menjalani beberapa pembedahan bagi mengeluarkan sisa cecair berbahaya daripada badannya dan kini berada dalam keadaan stabil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!