'Kami anak-beranak saling berpelukan, ketakutan'

Antara rumah penduduk yang terjejas
Antara rumah penduduk yang terjejas
A
A
A

JEMPOL - "Kami anak-beranak saling berpelukan dan menjerit meminta tolong sebelum lari menyelamatkan diri mengelak ditimpa bumbung terbang,"

Situasi itu dikongsikan seorang mangsa ribut, Kalsum Khalib, 40, selepas rumahnya di Felda Sungai Lui Barat mengalami kerosakan dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang, Sabtu.

Ibu kepada empat anak itu berkata, situasi cemas itu dihadapi hampir 15 minit sebelum keadaan kembali seperti sediakala.

"Masa tu saya baru balik dari hari sukan sekolah anak, jadi kami semua keletihan dan baring di bilik. Kemudian anak beritahu air masuk rumah dan bila buka saja pintu tengok bumbung dekat garaj kereta semua dah terbang.

"Ada dengar bunyi bising dan lihat bumbung berterbangan dan tercabut, saya bersama dua anak lari selamatkan diri ke rumah mak yang terletak berhampiran," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Rumah mangsa berbumbungkan langit selepas diterbangkan ribut.
Rumah mangsa berbumbungkan langit selepas diterbangkan ribut.

Katanya, situasi itu meninggalkan trauma buatnya kerana merupakan kejadian kali pertama berlaku namun bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat.

Dia bagaimanapun tak dapat mengganggarkan jumlah kerugian ditanggung buat masa ini kerana masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sementara menunggu kerja baik pulih dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi mangsa, Vidawati Khalib,48, berkata, dia tidak menyangka hujan yang pada mulanya dianggap hujan biasa disusuli ribut hingga memusnahkan banyak rumah.

"Saya ingatkan hanya hujan biasa tapi bila dengar macam bunyi berterbangan, saya mula rasa tak sedap hati.

"Saya kemudian jenguk luar dan nampak angin dah berputar dekat depan rumah sampai barang di ruang tamu sudah berterbangan. Memang nampak angin sedang berpusing depan rumah saya," katanya.

Katanya, dia bersama dua anak berjaya menyelamatkan diri hasil bantuan adik yang membantu membawa mereka keluar daripada rumah.

Ujarnya, ketika kejadian suami serta seorang anak berusia 24 tahun tiada di rumah kerana bekerja.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang, Sabtu, dianggarkan lebih 80 rumah penduduk di dua kampung iaitu di Kampung Baru Ayer Hitam dan Felda Sungai Lui Barat terjejas akibat ribut.

Susulan itu satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lui Barat pada jam 6.45 petang pada hari sama.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, setakat ini sebanyak 72 rumah di Felda Sungai Lui Barat dan 15 rumah Kampung Baru Ayer Hitam dilaporkan mengalami kerosakan susulan insiden itu.

Menurutnya, keluarga terjejas ditempatkan di PPS sehingga kerja baik pulih selesai.

"Saya dah minta Pegawai Daerah dan ADUN Sungai Lui untuk melakukan kerja pembaikan serta- merta bermula hari ini sehingga keadaan rumah boleh diduduki semula.

"Anggaran kos kerugian sedang teliti sedang oleh Pejabat Daerah namun kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh pihak Jawatankuasa Bencana Negeri yang dijangka mengambil masa selama empat hari," katanya selepas meninjau PPS menempatkan enam keluarga membabitkan 25 mangsa.

Beliau turut memaklumkan akan berbincang dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk menyalurkan bantuan asas kepada keluarga terjejas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!