Permohonan imuniti Anwar: PN gesa Peguam Negara campur tangan

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Negara digesa campur tangan segera dalam isu permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan imuniti undang-undang daripada saman sivil difailkan oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Peguam Negara yang merupakan penasihat undang-undang utama kepada kerajaan perlu campur tangan sama ada sebagai pencelah mahupun sahabat mahkamah dalam prosiding permohonan tersebut.

"PN memandang serius tindakan Perdana Menteri dalam keadaan hampir dengan tarikh perbicaraan kes saman oleh Yusoff pada 16 Jun 2025, telah memohon kekebalan bersyarat atas kapasiti beliau sebagai Ketua Kerajaan.

"Permohonan itu menimbulkan persoalan besar tentang penggunaan prinsip kekebalan diperuntukkan dalam Perkara 181, 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, peruntukan terbabit secara khusus merujuk kepada kekebalan bersyarat Raja-Raja dan bukan kepada mana-mana pemimpin politik termasuk Perdana Menteri.

"PN menegaskan adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk meneliti kesahihan permohonan kekebalan dibuat Perdana Menteri dari segi undang-undang dan perlembagaan," ujar beliau.

Tambah Takiyuddin, Peguam Negara juga perlu menegur dan menasihati Perdana Menteri secara rasmi sekiranya tindakan tersebut menyalahi semangat dan peruntukan Perlembagaan.

"Selain itu, mengelak duluan kehakiman berbahaya yang boleh melemahkan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin politik di hadapan undang-undang," tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Takiyuddin turut mengingatkan bahawa jika prinsip kekebalan tersebut disalah guna atau digunakan secara terpilih, maka boleh mencemarkan kredibiliti institusi perdana negara, membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan keseluruhannya.

Justeru, kata beliau, Peguam Negara perlu bertindak selaku Pengawal Perlembagan selaras dengan sumpah jawatannya, sekali gus mempertahankan Perlembagaan dan menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa takut atau pilih kasih.

"PN berpandangan sekiranya Perdana Menteri merasakan saman terhadap beliau tersebut tidak berasas, beliau boleh mengikut undang-undang di peringkat awal lagi membuat permohonan untuk membatalkan saman tersebut atas perbagai alasan.

"Antaranya, saman tidak mempunyai sebarang kausa tindakan menasabah, bersifat remeh- temeh, penyalahgunaan proses mahkamah, tidak mengikut prosedur betul dan seumpamanya," ujarnya lagi.

Beliau menegaskan, kedaulatan undang-undang adalah asas kepada demokrasi dan tiada siapa pun, hatta Perdana Menteri yang boleh dikecualikan daripadanya.

"Pengawal Perlembagaan bukan alat kuasa, sebaliknya dia adalah benteng terakhir rakyat daripada kezaliman," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!