Anwar mahu rujuk 8 persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan.

Permohonan itu termasuk persoalan sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther, empat tahun lalu.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, minggu lalu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Beliau turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh perlembagaan.

Ahli Parlimen Tambun itu juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Artikel Berkaitan:

Anwar menyatakan bahawa saman itu berasaskan dakwaan yang direka, selain mendakwa beliau menjadi mangsa sabotaj reputasi bermotifkan politik.

Dalam permohonan yang sama, Anwar turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi perlu menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada saman itu merupakan penyalahgunaan proses atau suatu ancaman kepada kepentingan awam.

Sekiranya benar, mahkamah perlu memutuskan sama ada saman itu wajar digantung atau dibatalkan demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan.

Permohonan itu juga meminta agar Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada Anwar, sebagai Perdana Menteri semasa, berhak menurut Perkara 5(1) Perlembagaan untuk perlindungan daripada litigasi yang bersifat strategik atau dipolitikkan bagi menjejaskan keupayaannya mentadbir negara.

Permohonan rujukan ini difailkan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau memohon agar prosiding perbicaraan saman di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, digantung sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, peguam Rafique Rashid Ali, yang mewakili Yusoff, mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima dokumen mahkamah daripada pasukan peguam Anwar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!