Masih ‘dihantui’ along walau hutang sudah langsai

KULAI - Seorang peminjam wang terus diburu dan diminta membuat bayaran tambahan oleh along meskipun telah melunaskan semua hutangnya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa yang enggan memenuhi tuntutan itu menerima padah apabila premis perniagaannya di Senai, di sini, disimbah cat merah.
Menurutnya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai sekitar jam 2 petang, pada Rabu.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa membuat pinjaman wang secara dalam talian melalui Facebook pada Mac lalu, namun bayaran telah diselesaikan sepenuhnya.
“Bagaimanapun, mangsa masih diganggu individu dipercayai peminjam wang tanpa lesen yang menuntut bayaran tambahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Zaiman menerusi talian 016-5171734 atau 07-6632222,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!