Polis tahan tiga lelaki suspek kes pukul, tetak di Puchong

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga lelaki termasuk bekas suami kepada teman wanita mangsa kes pukul dan tetak di Pangsapuri Puchong Intan, Taman Puchong, dekat Subang Jaya, Khamis lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, ketiga-tiga individu berumur antara 30 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan polis Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di Jalan USJ 9, Subang Jaya pada 3 petang tadi.
"Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan mengaku terlibat dengan kes ini. Permohonan reman kesemua lelaki itu akan dibuat di mahkamah Shah Alam esok bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam kejadian 2.15 pagi itu, seorang wanita memaklumkan teman lelakinya dipukul serta ditetak bekas suaminya bersama dua lagi lelaki.
Mohd Fairus dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku setelah mangsa, seorang warga tempatan berumur 47 tahun, tinggal bersama dengan bekas isteri seorang daripada suspek di rumah itu.
Mangsa dipercayai dipukul serta ditetak menggunakan pisau dan batang besi di bahagian badan dan kepala sehingga mengalami kecederaan dan kini dilaporkan stabil setelah menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!