Suami maut dikerat isteri, kepala masih hilang

UTTAR PRADESH - [DIKEMAS KINI] Satu pembunuhan kejam telah mengejutkan penduduk di daerah Ballia, India, apabila seorang lelaki berusia 62 tahun didakwa dibunuh dan dikerat-kerat oleh isterinya, kekasih isterinya dan dua yang lain.
Mangsa, seorang pesara juruelektrik dikenali sebagai Devendra Ram, didakwa dibunuh pada 8 Mei oleh isterinya, Maya, 55 dan tiga lelaki kesemuanya berusia 30-an.
Sebelum penemuan mengerikan itu, Maya membuat laporan polis mendakwa Devendra hilang selepas keluar dari rumah untuk menjemput anak perempuan mereka, lapor India Today.
Namun, pada 10 Mei lalu penduduk kampung terhidu bau busuk dari ladang berdekatan sebelum menemui anggota badan manusia yang terputus berselerak di kawasan itu.
Polis segera melancarkan siasatan pembunuhan dengan analisis forensik dan mengesahkan bahawa anggota badan itu milik Devendra.

Namun, kepalanya dilaporkan masih hilang, dipercayai telah dibuang ke dalam Sungai Ghagra dalam usaha untuk menyembunyikan jenayah tersebut.
Berikutan itu, polis menahan Maya dan kekasihnya, setelah dilaporkan mengaku melakukan pembunuhan tersebut.
Dua lagi suspek ditahan pada pagi 14 Mei dan mereka mengaku terlibat dalam jenayah kejam itu.
Hasil penahanan dan siasatan dibuat membawa kepada penemuan senjata yang digunakan untuk mengerat badan Devendra.
Superintenden Polis Ballia, Omvir Singh berkata, kes tersebut mula terbongkar selepas penduduk kampung menemui anggota badan tersebut.
Polis berkata, siasatan masih dijalankan, dan usaha sedang dilakukan untuk mencari kepala mangsa yang hilang serta menyusun semula kronologi pembunuhan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!