Joe Biden hidap barah prostat

WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, didiagnosis menghidap barah prostat, menurut pejabat beliau pada Ahad.
Laporan pemeriksaan tersebut dikeluarkan pada Jumaat lalu selepas pemimpin berusia 82 tahun itu mengalami gejala berkaitan saluran kencing, dan doktor menemui nodul pada prostatnya.
“Sel kanser itu telah merebak ke tulang beliau. Biden bersama keluarganya sedang menilai pilihan rawatan yang bersesuaian dengan doktor beliau,” ujar pejabatnya lagi sambil menambah bahawa gred skor barah prostat tersebut adalah sembilan, iaitu kategori barah paling agresif.
Sementara itu, Dr Matthew Smith dari Massachusetts General Brigham Cancer Center memaklumkan bahawa barah prostat boleh dirawat, namun tidak dapat disembuhkan sepenuhnya.
“Sebahagian besar pesakit akan diberi ubat-ubatan dan dinasihatkan agar tidak menjalani pembedahan atau terapi radiasi,” jelasnya.
Susulan pengumuman menggemparkan itu, Biden menerima mesej sokongan daripada pelbagai pemimpin politik yang berharap beliau segera sembuh.
Penggantinya, Donald Trump, yang juga merupakan lawan politik beliau, turut menzahirkan rasa sedih atas keadaan kesihatan Biden.
“Kami doakan Joe sembuh dengan cepat dan pulih sepenuhnya,” menurut catatan Trump di media sosial. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!