Nahas FRU: Apa khabar MTSB, soal MCA

Lawrence Low
Lawrence Low
A
A
A

SHAH ALAM – MCA mempersoalkan status Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) yang sepatutnya berperanan menjalankan siasatan terhadap sebarang insiden kemalangan.

Naib Presidennya, Datuk Ir Lawrence Low berkata, perkara itu dibangkitkan memandangkan satu pasukan petugas khas bebas telah ditubuhkan untuk menyiasat insiden dan punca nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kejadian di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pada Selasa lepas.

Menurutnya, penubuhan pasukan khas tersebut merupakan satu usaha yang baik, namun timbul persoalan dalam kalangan pakar mengenai keperluan menubuhkan pasukan petugas khas setiap kali berlaku kemalangan maut.

"Adakah MTSB yang disebut-sebut Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan era PH1.0 pada Disember 2018 tidak dapat memainkan peranan dalam meningkatkan keselamatan pengangkutan dan memastikan siasatan yang telus dan profesional terhadap setiap insiden?

"Adakah MTSB tidak mampu menjadi induk ataupun pusat pengumpulan data siasatan kemalangan pengangkutan di Malaysia bagi memudahkan carian sekiranya berlaku kemalangan pada masa akan datang?" soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Lawrence menambah, tragedi kemalangan maut membabitkan sebuah bas di Jalan Genting Highlands pada tahun 2013 yang meragut 37 nyawa seharusnya menjadi iktibar.

Katanya, sejurus kejadian, Panel Penasihat Bebas (PPB) kepada Menteri Pengangkutan ditubuhkan sebagai panel pemantau status pelaksanaan 51 syor penambahbaikan perkhidmatan bas bagi kes kemalangan tersebut.

Menurutnya, sekiranya fungsi dan peranan MTSB diperkasa, ia pasti dapat dijadikan panduan serta rujukan bagi memastikan keselamatan jalan raya terjamin.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya ingin mengulangi pertanyaan Dr Ong Kian Ming semasa beliau menjadi Ahli Parlimen Serdang pada tahun 2017 lalu, apa khabar dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia?" soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!