KDN FC tekad selesai tunggakan hutang, sasar musim baharu tanpa beban

KELAB Bola Sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) berhasrat menyelesaikan semua tunggakan hutang yang membelenggu pasukan itu sekali gus memulakan musim 2026/2027 dengan semangat baharu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, usaha itu mampu menjadikan pasukan tampil lebih berdaya saing.
“Ketika ini kita sedang bertungkus-lumus menyelesaikan tunggakan hutang ini dengan menyediakan beberapa pelan.
“Kalau ada hutang, kena bayar. Tetapi kalau nak bayar, mesti kena ikut prosedur,” katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Kelab Penyokong dan Peminat di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, setakat ini hampir 100 peratus tunggakan gaji telah dibayar oleh pihak pengurusan.
Ujarnya, KDN FC serius dalam menyelesaikan tunggakan sedia ada membabitkan hutang gaji pemain dan staf pengurusan.
“Kita mahu mulakan musim depan tanpa hutang.
“Kita tidak mahu menganiaya sesiapa dan KDN FC komited dalam menyelesaikan tunggakan gaji,” katanya.
Irwan Rizal turut memaklumkan bahawa bagi saingan musim baharu nanti, KDN FC memberi penekanan kepada soal kestabilan dan prestasi pasukan.
Katanya, kedua-dua perkara itu menjadi tonggak utama dalam memastikan kecemerlangan pasukan bagi musim akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!