Kongres Nasional PKR 2025: Polis Johor sedia kawal keselamatan

Kumar (kanan) menyampaikan sijil sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Selasa.
Kumar (kanan) menyampaikan sijil sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor sudah bersedia dari segi keselamatan dan kelancaran lalu lintas bagi memastikan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 selama tiga hari berlangsung lancar.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, anggota akan ditempatkan di empat lokasi utama sekitar bandar raya ini yang menjadi lokasi penganjuran kongres berkenaan.

Menurutnya, kesesakan lalu lintas dijangka berlaku berikutan kehadiran kira-kira 10,000 orang sepanjang program berlangsung.

"Acara ini akan berlangsung dari Khamis hingga Sabtu di empat lokasi iaitu Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Hotel Berjaya Waterfront, Pusat Konvensyen Danga Bay dan pusat beli-belah Toppen.

"Delegasi terdiri daripada ahli parti dan tetamu kehormat, dianggarkan mencecah 10,000 orang. Polis bersiap sedia dari segi kawalan keselamatan dan lalu lintas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Derma Darah sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.

Tambahnya, polis tidak menjangkakan sebarang insiden besar berlaku selagi penganjur dan peserta mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

"Tiada isu besar dijangka. Selagi ikut undang-undang, tidak ada masalah walau apa jua program dianjurkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, tiada penutupan jalan dirancang sepanjang program berlangsung, namun kesesakan di beberapa lokasi utama tidak dapat dielakkan.

"Tiada penutupan jalan, cuma akan berlaku sedikit kesesakan, namun tidak membabitkan isu besar," katanya.

Mengikut kenyataan rasmi parti, perasmian Kongres AMK dan Wanita jatuh pada 21 Mei, disusuli persidangan kedua-dua sayap tersebut pada 22 dan 23 Mei, manakala pengundian dan perasmian Kongres Nasional Keadilan 2024/2025 pada 23 Mei.

Keputusan pemilihan dijangka dapat diketahui pada malam 23 Mei (Jumaat) atau keesokan harinya sewaktu kongres nasional berlangsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!