Sekumpulan gajah mengamuk di Gerik, rosakkan kereta gara-gara bunyi hon

GERIK - Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila kereta dipandunya diserang sekumpulan gajah liar di Kilometer 11 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam berhampiran Tugu Peringatan Pembinaan Jalan Raya Timur Barat itu, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios dari arah Jeli menghala ke Gerik terpaksa menyelamatkan diri selepas dikepung tiga ekor gajah yang tiba-tiba menghampiri kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu jam 11.36 malam selepas pengadu berusia 39 tahun hadir ke balai polis bagi membuat aduan.
"Hasil siasatan mendapati semasa melalui lokasi kejadian, pemandu terlihat sekumpulan gajah sedang melintas di atas jalan lalu bertindak memberhentikan kereta dan mematikan lampu kenderaan.
"Mangsa terdengar bunyi hon dari arah belakang sebelum tiga ekor gajah menghampiri kenderaan tersebut menyebabkan dia panik dan keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Zulkifli, pemandu berkenaan bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun katanya, kereta mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, belakang serta sisi kanan dan kiri akibat serangan haiwan liar itu.
Berikutan kejadian itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berwaspada ketika melalui kawasan berisiko terutama di laluan yang sering menjadi habitat gajah liar.
"Pemandu dinasihatkan agar tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi yang boleh menyebabkan haiwan tersebut bertindak agresif.
"Pengguna jalan raya juga perlu mengambil langkah keselamatan yang sesuai apabila berdepan situasi melibatkan hidupan liar,” katanya lagi.
Kejadian tersebut tular selepas beberapa video yang dirakam pengguna jalan raya memaparkan kerosakan kereta dimuat naik di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!