Raja Salman titah tajaan 1,000 jemaah haji Palestin daripada keluarga syahid, cedera

RIYADH - Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud menitahkan penajaan 1,000 jemaah haji kepada keluarga syahid, tahanan dan mereka yang tercedera dalam kalangan rakyat Palestin untuk menunaikan ibadah Haji pada tahun ini, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Penajaan itu merupakan inisiatif perbelanjaan peribadi baginda di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci bagi Haji, Umrah dan Ziarah yang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan.
Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan merangkap Penyelia Umum program, Sheikh Dr Abdullatif Al Alsheikh menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, atas keprihatinan dan kemurahan hati kepimpinan tertinggi negara itu.
Beliau menyifatkan titah itu sebagai lambang komitmen berterusan Kerajaan Arab Saudi dalam menyantuni rakyat Palestin serta memperkukuh semangat persaudaraan dalam kalangan umat Islam.
"Program ini adalah kesinambungan kepada usaha gigih kepimpinan Saudi untuk memudahkan umat Islam Palestin menunaikan rukun Islam kelima dalam suasana yang selesa dan terjamin," katanya.
Al Alsheikh turut memaklumkan bahawa kementerian telah mula melaksanakan pelan menyeluruh bagi memastikan jemaah Palestin mendapat segala kemudahan dan perkhidmatan terbaik sepanjang perjalanan mereka - bermula dari tanah air, sewaktu berada di Mekah dan Madinah, hingga mereka kembali semula ke Palestin.
Sejak mula diperkenalkan pada 1417 Hijrah, program ini telah menaja lebih 64,000 jemaah dari pelbagai negara, sekali gus mencerminkan kedudukan Arab Saudi sebagai tumpuan umat Islam sejagat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!