Ijazah Jokowi bikin riuh satu Indonesia

JAKARTA - Dakwaan bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mempunyai ijazah palsu masih belum reda hingga kini setelah hal itu dibangkitkan semula pada Mac lalu.
Perkara tersebut dibahaskan secara meluas di platform media sosial pada 26 Mac lalu hingga ada pihak yang tampil dan menyebarkan fitnah dan cuba mencemarkan nama baik Jokowi.
Kebanyakan warganet kemudiannya mempersoalkan kesahihan ijazah Jokowi yang diperoleh daripada Universitas Gadjah Mada (UGM).
Ketika itu, beliau menyebut terdapat lima individu yang membuat kenyataan fitnah di media sosial dan Jokowi meminta tindakan tegas diambil ke atas mereka.
Setelah mengumpulkan beberapa bukti, beliau akhirnya memutuskan untuk membuat laporan di Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) pada 30 April lalu.
Jokowi yang sebelum ini cuba tidak melatah dengan tuduhan yang dilemparkan bagaimanapun berasa tersinggung apabila berdepan fitnah sedemikian.

"Tuduhan dilemparkan mereka jelas menghina saya. Mereka bukan hanya menuduh ijazah saya palsu, tetapi juga merendah-rendahkan saya," katanya pada awal bulan lalu.
Jokowi memberitahu beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.
"Daripada sibuk hal ijazah orang lain, lebih baik negara ini memikirkan cara untuk bersama-sama menghadapi masalah ekonomi global," katanya.
Sementara itu, Komisaris Besar Polisi (Kombes) Ade Ary memaklumkan seramai 24 individu telah dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung fitnah ijazah palsu tersebut.
Ade menjelaskan sejumlah barang bukti termasuk salinan ijazah dan beberapa dokumen penting lain turut diperoleh pihak berkuasa.
Selain itu, polis juga merampas pemacu USB yang mengandungi 24 pautan video di YouTube dan kandungan berkaitan ijazah Jokowi sebagai palsu di platform X.

Dipersoal sejak 2019
Desakan semakin meningkat supaya Jokowi menunjukkan kepada umum ijazah asli sarjana kehutanan UGM setelah analisis dibuat pakar forensik digital, Rismon Sianipar yang menyebut tentang kejanggalan pada tesis beliau yang menjadi syarat untuk menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda pada 1985.
Rismon mempersoalkan penggunaan huruf jenis Times New Roman sedangkan ia hanya mula digunakan Microsoft Word menerusi Windows 3.1 pada 1992.

Alumnus UGM itu juga menyebut tentang ketiadaan kertas kelulusan daripada pemeriksa Jokowi dan nama pemeriksa.
Hal berkaitan ijazah palsu ini sebenarnya sudah timbul sejak enam tahun lalu.
Pada Januari 2019 menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres), seorang lelaki dikenali sebagai Umar Kholid Harahap ditahan polis kerana catatannya di Facebook yang mempersoalkan tentang ijazah Sekolah Menengah Atas (SMA) Jokowi.
Menurutnya, dokumen itu tertulis Jokowi lulusan SMAN 6 Surakarta pada 1980 sedangkan sekolah itu dibangunkan pada 1986.
Pada 2022, muncul pula nama Bambang Tri Mulyomno yang menghasilkan buku berjudul Jokowi Undercover 2: Lelaki Berijazah Palsu.
Buku setelah 223 muka surat itu secara terang-terangan menuduh Jokowi berbohong tentang lulusan akademik beliau berdasarkan keterangan beberapa individu yang rapat dengannya.
Bambang turut menganalisis sejumlah gambar lama Jokowi termasuk ijazah miliknya.
Dia dengan lantang mendakwa pemimpin tersebut menggunakan ijazah palsu ketika mendaftar sebagai calon pada Pilpres 2019 dan memfailkan kes itu untuk tindakan selanjutnya.
Tetapi, kes itu ditarik balik setelah Bambang menjadi suspek kes lain berkaitan ucapan kebencian.
Isu ijazah palsu itu kembali menjadi topik hangat pada tahun lalu, setelah Ketua Tim Pembela Ulama dan Aktivis (TPUA), Eggi Sudjana mengemukakan tuduhan itu kepada Pengadilan Negeri Jakarta Pusta, namun majlis hakim menyatakan dakwaan tersebut tidak boleh diterima atas alasan bidang kuasa.
Pada minggu lalu, Presiden Kelima Indonesia, Megawati Soekarnoputri menerusi ucapannya di Badan Riset Nasional (BRIN) juga menyebut tentang polemik ijazah palsu tanpa menyebut nama Jokowi.
"Sekarang ramai yang kecoh tentang ijazah. Kenapa susah sangat mahu redakan hal ini, kalau betul ia ijazah asli, tunjuk sahaja pada semua untuk tutup mulut orang," ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!