Wan Zakaria simpan 1,000 koleksi batik dalam rumah khas

Wan Zakaria bersama sebahagian koleksi batik.
Wan Zakaria bersama sebahagian koleksi batik.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Obses terhadap batik menjadikan seorang peminat batik berasal dari Kuala Krai ini menyimpan hampir 1,000 koleksi batik pelbagai corak.

Lebih istimewa, setiap pakaian Wan Zakaria Wan Abu Bakar, 43, ditempah khas bermula daripada proses melukis, mencanting dan mewarna, menjadikannya lebih eksklusif.

Batik yang menjadi koleksinya juga mencecah ribuan ringgit dan kebanyakannya bermotifkan flora serta abstrak, selain yang paling istimewa dikenali sebagai mega mendung.

“Koleksi baju batik ini saya kumpul sejak sepuluh tahun lalu dan kini disimpan di sebuah rumah khas kerana tidak mahu pakaian ini rosak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Isnin.

Setiap koleksi pakaian Wan Zakaria sangat eksklusif kerana direka sendiri bermula dari lukisan, canting dan jahitan.
Setiap koleksi pakaian Wan Zakaria sangat eksklusif kerana direka sendiri bermula dari lukisan, canting dan jahitan.

Wan Zakaria, yang pernah bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Selangor, mereka bentuk dan menjahit sendiri pakaian itu kerana lebih menjimatkan kos serta mengikut cita rasanya.

Jelasnya lagi, bagi mengekalkan nilai tradisional batik, semua koleksi pakaiannya hanya dipadankan dengan leher cekak musang serta menggunakan butang daripada kayu, tempurung dan butang bungkus yang diperbuat daripada kain asal batik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya lebih teruja menggunakan tiga atau lima butang baju jenis itu bagi mengekalkan ciri-ciri budaya yang sesuai dengan padanan corak klasik atau moden,” katanya.

Butang daripada tempurung menjadikan pakaian daripada batik lebih klasik
Butang daripada tempurung menjadikan pakaian daripada batik lebih klasik

Wan Zakaria juga tidak kedekut untuk menempah batik khas yang sesuai dengan majlis tertentu kerana menganggap ia dapat mengangkat martabat batik dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak bahawa teknik penjagaan turut menjadi faktor masyarakat moden tidak menyarung batik sebagai pakaian ketika bekerja.

“Tidak mudah mengurusnya kerana kebanyakan batik dilukis di atas kain jenis sutera yang memerlukan cucian khas,” katanya lagi.

Beliau juga kesal kerana ramai generasi kini sudah tidak mengendahkan batik, sedangkan sebelum ini batik Malaysia dikenali di peringkat dunia, khususnya dari Kelantan dan Terengganu.

Jelasnya lagi, batik cetak dari Indonesia lebih banyak dipakai di negara ini sehingga menyebabkan ada yang keliru sama ada ia keluaran tempatan atau dari negara berkenaan.

Sebagai pencinta kain jenis itu, Wan Zakaria tetap yakin bahawa batik mempunyai nilai tersendiri walaupun dunia fesyen berubah mengikut peredaran zaman.

Beliau juga berharap agar pelukis batik akan melahirkan lebih banyak idea agar seni ini mampu bersaing dalam dunia tekstil di peringkat antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!