Sejarah pahit yang tidak mahu diulangi

INSIDEN serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor genap setahun lalu bukan sekadar tragedi yang meragut nyawa dua anggota polis muda, tetapi menjadi cerminan jelas kepada keselamatan premis milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang selama ini menjadi antara simbol utama kedaulatan undang-undang negara, tetapi kini tidak lagi boleh dianggap kebal.
Selain kes di Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, terdapat beberapa lagi kes serangan ke atas balai polis dalam tempoh beberapa dekad lalu.
Pada 16 Oktober 1980, Balai Polis Batu Pahat di Johor diserang sekumpulan ahli kumpulan ajaran sesat, menyebabkan seramai 23 individu termasuk 14 anggota polis, petugas dan orang awam cedera.
Pada 4 Feberuari 2001 pula, Balai Polis Guar Chempedak di Kedah diserang sekumpulan individu daripada kumpulan yang terpengaruh dengan pelampau antarabangsa, dipercayai cuba merompak senjata api di balai itu sehingga menyebabkan dua anggota polis cedera.
Sementara itu pada 31 Ogos 2017, di Balai Polis Pinggiran Subang di Selangor, seorang anggota berpangkat lans koperal maut akibat ditembak dari jarak dekat dan ditetak senjata tajam semasa bertugas di pekarangan balai berkenaan.
Menurut laman web PDRM, pasukan keselamatan itu mempunyai 14 ibu pejabat polis kontinjen (IPK), 148 ibu pejabat polis daerah (IPD) dan 837 balai polis di seluruh negara.
Justeru, langkah kerajaan mewartakan semua balai polis, IPD dan IPK sebagai kawasan larangan dilihat satu langkah tepat khususnya berhubung strategi jangka panjang dalam memperkukuhkan lagi elemen keselamatan bagi institusi penguatkuasaan berkenaan.
Malah difahamkan, langkah pewartaan ini dibuat selepas menilai tahap risiko keselamatan terhadap institusi penguatkuasaan berkenaan selain mengambil kira corak ancaman keganasan yang semakin kompleks dan tidak lagi boleh dijangka pada hari ini.
Langkah mewartakan kawasan ini sebenarnya secara tidak langsung memberikan kuasa perundangan yang lebih kukuh kepada PDRM dalam menjalankan kawalan pergerakan dan pemeriksaan terhadap individu yang ingin memasuki kawasan tersebut.
Dalam kata lain, langkah pewartaan ini bermakna, mana-mana individu yang cuba memasuki atau mengambil gambar tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Langkah ini juga bakal memberikan kesukaran kepada mana-mana pihak yang berniat jahat untuk membuat pemantauan awal atau recce di lokasi.
Bagaimanapun, orang luar tidak sepatutnya bebas untuk keluar masuk ke kawasan strategik seperti bahagian dalam balai polis tanpa kawalan; namun, langkah ini juga perlu dilaksanakan dengan bijaksana agar tidak mewujudkan persepsi bahawa polis semakin jauh daripada rakyat.
Sungguhpun begitu, aspek keterbukaan khususnya perkhidmatan kepada orang ramai seperti urusan laporan polis, urusan saman trafik dan sebagainya tetap perlu diteruskan melalui kaunter hadapan selain menerusi aplikasi digital, dan saluran komunikasi awam yang lain; cuma dari aspek fizikal seperti keselamatan di balai perlu diperketatkan.
Dari sudut keselamatan dalaman pula, insiden serangan ini juga membuka ruang kepada PDRM untuk mempertingkatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) termasuk penggunaan sistem keselamatan automatik, sistem biometrik, pagar keselamatan berganda, rondaan berjadual, dan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam di sekitar kawasan balai, dalam usaha memastikan kawalan keselamatan berada pada tahap optimum.
Selain itu, kawasan sekitar juga perlu diwartakan sebagai kawasan larangan bagi membolehkan peruntukan khas disalurkan bertujuan mengemas kini infrastruktur keselamatan di balai-balai polis yang sebelum ini terlalu terbuka.
Lebih penting, langkah ini secara keseluruhannya memberikan mesej jelas bahawa pihak penguatkuasaan seperti PDRM serius dalam mempertahankan institusi masing-masing daripada pihak ekstremis atau mana-mana kumpulan yang cuba menggugat kestabilan negara.
Apa pun diharapkan agar selepas tragedi Balai Polis Ulu Tiram, isu keselamatan dalaman tidak lagi diambil mudah dan pewartaan setiap balai polis, IPD dan IPK dapat melindungi nyawa pasukan keselamatan kita.
* Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!