Amorim sedia tinggalkan United tanpa pampasan

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menyatakan kesediaannya untuk berundur daripada jawatan tanpa menuntut sebarang pampasan sekiranya pihak pengurusan kelab merasakan beliau bukan individu yang sesuai untuk meneruskan tugas sebagai pengurus.
Amorim, 40, tetap yakin beliau masih merupakan calon terbaik untuk membimbing United keluar daripada kemelut prestasi semasa, meskipun pasukannya baru sahaja mengalami kekalahan menyakitkan kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa (UEL), di samping mencatatkan musim terburuk dalam sejarah kelab di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk ditunjukkan kepada penyokong ketika ini, jadi semuanya bergantung kepada kepercayaan.
“Saya sentiasa terbuka. Jika lembaga pengarah dan penyokong merasakan saya bukan orang yang tepat, saya akan berundur keesokan harinya tanpa sebarang perbincangan tentang pampasan.
“Namun, saya tidak akan meletakkan jawatan,” ujar Amorim dalam sidang media selepas perlawanan akhir UEL.
Beliau menegaskan masih yakin dengan falsafah dan pendekatan kejurulatihannya, walaupun musim ini jauh daripada jangkaan.
“Saya tidak akan ubah cara saya bekerja. Saya sentiasa jujur. Tetapi saya tidak mahu bercakap tentang masa depan buat masa ini kerana kita harus hadapi kesakitan akibat kekalahan ini terlebih dahulu.
“Apa pun, jelas kami lebih baik berbanding lawan, tetapi gagal memanfaatkan peluang. Pemain-pemain telah memberikan segalanya dan saya percaya kami lebih layak untuk menang,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, pertahanan United, Luke Shaw turut mengakui bahawa prestasi pasukan musim ini tidak menepati standard kelab dan menyifatkan perubahan besar perlu dilakukan.
“Untuk kelab seperti Manchester United, musim ini tidak boleh diterima. Kami semua perlu menilai semula diri masing-masing. Adakah kami cukup bagus untuk berada di tahap ini?
“Banyak kali musim ini kami turun ke padang tanpa keyakinan untuk menang. Sebab itu saya percaya Ruben adalah individu yang tepat untuk membawa perubahan. Dia faham apa yang berlaku setiap hari di kelab, bukan sahaja di atas padang tetapi juga dari segi mentaliti dan standard sekeliling,” katanya.
United kini berada dalam tekanan besar untuk melakukan rombakan selepas kegagalan demi kegagalan musim ini, dengan nasib Amorim dijangka menjadi topik perbincangan utama dalam mesyuarat pasca-musim pengurusan tertinggi kelab itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!