ASEAN All-Stars tekad jinakkan Manchester United

Sang-sik (tengah) yakin pasukannya mampu mencipta kejutan ke atas United. - FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Sang-sik (tengah) yakin pasukannya mampu mencipta kejutan ke atas United. - FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PASUKAN ASEAN All-Stars nekad untuk mencipta kejutan apabila turun menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United dalam aksi Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Rabu.

Pengendali ASEAN All-Stars, Kim Sang-sik mengakui barisan pemainnya cukup teruja untuk beraksi menentang kelab ternama seperti United.

“Kami amat gembira diberi peluang menyertai perlawanan ini di Malaysia. Selamat datang kepada Manchester United ke Asia Tenggara.

“Saya bersama pemain-pemain terbaik rantau ini akan memberikan aksi terbaik. Kami datang bukan sekadar melengkapkan jadual, tetapi mahu menang dan mencabar United sebaik mungkin,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan pada Selasa.

Dalam pada itu, kapten ASEAN All-Stars, Sergio Aguero berkata, status Manchester United sebagai kelab elit Eropah tidak mematahkan semangat mereka.

“Kami tahu United sebuah kelab besar dengan ramai pemain bintang. Tapi kami juga mahu menunjukkan kemampuan kami. Sudah tentu kami turun untuk menang,” katanya.

Pasukan kendalian Kim Sang-sik diperkuatkan dengan gabungan pemain terbaik dari Asia Tenggara termasuk empat wakil Australia iaitu Harrison Delbridge, Adrian Segecic, Yaya Dukuly dan Kealey Adamson.

Lima pemain tempatan turut mendapat panggilan ke skuad itu, iaitu Haziq Nazli, Declan Lambert, Azam Azmi, Adib Ra’op dan Sergio Aguero yang bakal mengetuai cabaran ASEAN All-Stars.

Artikel Berkaitan:

Turut menyertai pasukan ialah dua pemain dari Filipina, Sandro Reyes dan Amani Aguinaldo, serta beberapa pemain lain dari Thailand, Brunei, Timor Leste dan negara-negara ASEAN lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!