Raja dadah India cuba bersembunyi di Malaysia diberkas

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cubaan seorang individu lelaki dipercayai raja dadah dari India untuk bersembunyi daripada ditangkap pihak berkuasa akhirnya kecundang apabila dia diberkas di sebuah hotel di ibu negara pada 13 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan dalam satu serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sebuah bilik hotel jam 1.35 pagi.

Beliau berkata, lelaki terbabit disenaraikan sebagai individu dikehendaki atau penjenayah buruan oleh kerajaan India.

"Suspek dipercayai telah berada di negara ini sejak awal tahun ini dengan menggunakan pas sebagai pelancong.

"Susulan penahanan itu, suspek telah dihantar pulang ke negara asalnya pada 27 Mei dengan menaiki penerbangan jam 6.54 petang," katanya pada Sabtu.

Kata beliau, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam aktiviti pengedaran dadah di Malaysia.

Bagaimanapun katanya, tindakan lanjut dan risikan sedang giat dilakukan JSJN bagi mengenal pasti sekiranya lelaki tersebut mempunyai rangkaian sindiket dadah di negara ini atau sebaliknya.

Menurut beliau lagi, siasatan lanjut turut dibuat bagi mengesan sama ada lelaki itu terlibat dalam kongsi gelap di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959 dan 1963,” jelasnya.

Terdahulu The Indian Express melaporkan ketua sindiket dadah antarabangsa ditahan Biro Kawalan Narkotik (NCB) India selepas dia diekstradisi dari Malaysia.

Naveen Chichkar, 35, seorang penduduk Navi Mumbai, dikehendaki dalam beberapa kes berkaitan dadah dan akan dibicarakan di mahkamah Mumbai pada Khamis ini.

Notis merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) ke atas Chichkar telah membawa kepada penahanannya di Malaysia.

Sindiket yang diketuai Chichkar dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan dadah bernilai 1,128 Crore (RM635 juta) termasuk kokain dan ganja yang diperoleh dari Amerika Syarikat melalui penghantaran kargo.

Siasatan bermula selepas satu bungkusan yang mengandungi kokain berjaya dikesan pada Januari dan telah membawa kepada rampasan kokain seberat 11.54 kilogram (kg), ganja (4.9kg) dan gula-gula getah ganja (5.5kg) di Navi Mumbai.

Chichkar sebelum ini melarikan diri dalam satu kes penyeludupan dan dikesan di Thailand pada tahun 2021 sebelum dijejaki di Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!