Pesara kempunan harumanis, lebih RM67,000 wang simpanan lesap

Niat seorang pesara untuk membeli buah mangga harumanis secara dalam talian bertukar menjadi mimpi ngeri apabila wang simpanannya berjumlah lebih RM67,000 lesap dipercayai ditipu sindiket penipuan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azli)
Niat seorang pesara untuk membeli buah mangga harumanis secara dalam talian bertukar menjadi mimpi ngeri apabila wang simpanannya berjumlah lebih RM67,000 lesap dipercayai ditipu sindiket penipuan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Azli)
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Niat seorang pesara untuk membeli buah mangga harumanis secara dalam talian bertukar menjadi mimpi ngeri apabila wang simpanannya berjumlah lebih RM67,000 lesap dipercayai ditipu sindiket penipuan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berusia 61 tahun itu hanya menyedari wang dalam akaun bank miliknya telah dipindahkan tanpa kebenaran sehari selepas membuat transaksi pembelian secara dalam talian.

Menurut beliau, kejadian berlaku pada Selasa lalu ketika mangsa berada di rumah dan melihat satu iklan menjual buah harumanis di Facebook.

"Setelah menunjukkan minat, mangsa kemudian dihubungi oleh penjual sebelum menerima satu pautan bagi tujuan pengesahan pembelian.

"Mangsa telah mengisi maklumat seperti diminta dan turut menghantar semula kod ID yang diberikan.

"Keesokan harinya sekitar jam 10 pagi, mangsa terkejut apabila mendapati wang berjumlah RM67,573.63 dalam akaun bank miliknya telah dipindahkan ke akaun yang tidak dikenali," katanya pada Khamis.

Menurut beliau, mangsa telah mengambil tindakan segera dengan menghubungi pihak bank untuk menyekat akaunnya dan seterusnya tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada Rabu.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azli turut menasihati orang ramai agar lebih berwaspada ketika menjalankan urusan jual beli secara dalam talian dan tidak sewenang-wenangnya memasukkan maklumat peribadi atau perbankan ke dalam pautan yang diterima daripada pihak yang tidak dikenali.

"Jika ada sebarang keraguan, semak terlebih dahulu dengan pihak bank atau agensi berkaitan, dan elakkan berurusan dengan penjual yang meragukan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!