Khidmat tanpa upah, Sahabat Maktab sukarela bantu jemaah haji

Sebahagian jemaah haji yang terpilih menjadi Sahabat Maktab TH.
Sebahagian jemaah haji yang terpilih menjadi Sahabat Maktab TH.
A
A
A

MAKKAH - Dalam kesibukan jutaan umat Islam menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci, wujud satu kumpulan insan terpilih yang tampil dengan jiwa besar dengan menjadi sukarelawan tanpa upah, demi membantu kelancaran ibadah jemaah haji Malaysia.

Dikenali sebagai Sahabat Maktab, program bermula sejak 2006 itu menjadi ruang amal buat jemaah berkemahiran dan bersemangat tinggi untuk membantu rakan-rakan senegara yang memerlukan bantuan sepanjang musim haji.

Mohd Hisham menyarungkan ves kepada salah seorang Sahabat Maktab
Mohd Hisham menyarungkan ves kepada salah seorang Sahabat Maktab

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, peranan Sahabat Maktab sangat besar terutamanya dalam membantu petugas Lembaga Tabung Haji (TH) ketika Operasi Masyair, iaitu fasa paling mencabar dalam ibadah haji.

Menurutnya, seramai 385 Sahabat Maktab menyertai inisiatif anjuran TH tahun ini mewakili 11 maktab penginapan di tujuh buah bangunan sekitar Makkah.

Tambahnya, Sahabat Maktab terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik.

“Sahabat Hujjaj membantu jemaah tidak berupaya ke tandas ketika Operasi Masyair, memastikan kehadiran jemaah dalam khemah semasa wukuf dan membantu urusan pembersihan khemah.

“Sahabat Ibadat berperanan membantu pembimbing ibadat dari segi penjelasan hukum-hakam dan manasik haji manakala Sahabat Medik pula terdiri dalam kalangan profesional seperti doktor dan jururawat yang membantu memantau kesihatan jemaah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sahabat Maktab di Abraj Al Tayseer, di sini.

Mohd Hisham berkata, peranan Sahabat Maktab amat penting bagi memastikan jemaah haji dapat menunaikan haji dengan sempurna.

“Haji ini satu pengorbanan. Sahabat Maktab ialah jemaah yang sanggup berkorban masa dan tenaga mereka.

“Peranan mereka sangat penting, terutama dalam situasi kecemasan atau kekurangan petugas. Tapi saya pesan satu perkara jaga kesihatan diri dahulu sebelum bantu orang lain. Tubuh kena sihat, minda kena kuat jika nak bantu orang lain,” katanya.

Sementara itu, jemaah haji, Leftenan Kolonel Jamal Sapri berkata, dia teruja menjadi sebahagian Sahabat Maktab kerana sudah terbiasa dengan aktiviti kesukarelawan.

“Saya tahu petugas haji tak ramai, jadi saya ambil peluang untuk sertai Sahabat Maktab.

“Jumlah jemaah yang tiba ke Tanah Suci semakin ramai, warga emas dan lanjut usia perlukan bantuan. Kalau tak cukup kakitangan kami bantu petugas TH uruskan jemaah,” katanya.

Dr Salmiah dan suaminya, Jamal antara yang menyertai Sahabat Maktab TH.
Dr Salmiah dan suaminya, Jamal antara yang menyertai Sahabat Maktab TH.

Jemaah haji, Dr Salmiah Othman berkata, sebagai Sahabat Medik beliau akan membantu jemaah warga emas dan yang sakit.

“Saya akan cuba bantu untuk menyusun keperluan ubat terutama yang perlu dibawa jemaah haji ketika Operasi Masyair kerana nak mereka kekal sihat,” katanya.

Wan Asma
Wan Asma

Sementara itu, pesara kerajaan, Wan Asma Wan Taman, 66, berkata, sudah lama berniat menyertai Sahabat Maktab selepas mendengar cerita jemaah yang terpilih menyertainya sebelum ini.

“Alhamdulillah, tahun ini dapat peluang. Insya-ALLAH walaupun dah berumur, saya nak bantu mereka yang uzur, khususnya jemaah berkerusi roda,” katanya penuh semangat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!