Sukar untuk Salah ulang prestasi luar biasa musim depan

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot percaya bahawa Mohamed Salah mungkin berdepan cabaran untuk mengulangi prestasi cemerlang yang dilakukan musim ini bersama The Reds.
Salah yang kini berusia 32 tahun memainkan peranan penting dalam kejayaan Liverpool apabila membantu kelab itu merangkul kejuaraan liga ke-20 menerusi musim yang mengagumkan.
Sejak berpindah dari AS Roma pada 2017, Salah secara konsisten mempamerkan aksi bertaraf dunia.
Musim ini, jaringan dan bantuan gol daripada pemain Mesir itu bukan sahaja melonjakkan Liverpool dalam kedudukan teratas liga, malah melayakkannya menerima lanjutan kontrak dua tahun yang akan mengikatnya di Anfield hingga 2027.
Namun, Slot tetap berhati-hati dalam meletakkan jangkaan tinggi terhadap pemain bintangnya itu walaupun mengakui kehebatan yang dipamerkan Salah musim ini.
“Tahap itu mungkin sukar untuk beliau kekalkan dalam dua musim akan datang.
“Saya berharap dia mampu lakukannya, tetapi ia bukan keperluan mendesak. Jika jumlah gol dan bantuannya menurun sedikit pun, ia tetap akan menjadi musim yang hebat.
"Tapi saya kenal Salah dan dia akan berusaha keras setiap hari untuk capai sesuatu yang lebih luar biasa buat kelab ini," katanya.
Liverpool bakal menutup tirai musim dengan aksi menentang juara Piala FA, Crystal Palace di Anfield.
Setakat ini, Salah telah menjaringkan 28 gol dan mencipta 18 bantuan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!