Barista dipenjara sembilan bulan mengaku gugurkan kandungan

MELAKA - Seorang barista bujang dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kandungannya berusia lima bulan mati selepas dilahirkan, minggu lalu.
Majistret, Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Norazzeti Azima Awang Long, 21, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah menetapkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 19 Mei lepas.
Mengikut pertuduhan, wanita tersebut telah mengambil ubat misoprostol sebelum kelahiran bayi dengan niat menghalang bayi tersebut daripada dilahirkan dalam keadaan hidup.
Kesalahan itu dilakukan pada 12 Mei 2025, jam lebih kurang 10 malam di dalam tandas bilik sebuah kondominium di Melaka Tengah.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan hukuman penjara yang setimpal dengan mengambil kira isu-isu sosial yang berleluasa ketika ini.
Peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman penjara dan denda minimum dengan alasan anak guamnya bekerja di sebuah kafe dengan pendapatan RM1,800 sebulan selain menanggung bapa berusia 76 tahun.
Katanya, tertuduh bertindak menggugurkan kandungan selepas didesak teman lelakinya berulang kali.
Mengikut fakta kes, wanita itu telah pergi ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami bengkak susu dan mendakwa dia mengalami keguguran.
Bagaimanapun, tertuduh kemudian mengaku mengambil ubat menggugurkan kandungan yang dibeli melalui aplikasi TikTok pada 12 Mei lalu dan menyerahkan janin kepada rakannya untuk ditanam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!